Azeem Fahmi harap dapat lihat lebih ramai pelari pecut Malaysia di NCAA Divisyen 1 satu hari nanti

67

Jaguh pecut negara, Azeem Fahmi berharap agar satu hari nanti beliau dapat melihat lebih ramai atlet pecut dari Malaysia dalam beraksi di NCAA (National Collegiate Athletics Association) Divisyen 1.

Menurut Azeem, ketika ini hanya beliau sahaja atlet pecut dari Malaysia yang berada dalam program olahraga yang melibatkan kira-kira 1,100 sekolah di Amerika Syarikat dan satu di Kanada.


“Perkara paling terbesar adalah untuk meletakkan nama Malaysia di persada dunia jadi saya boleh katakan buat masa ini saya satu-satunya atlet pecut negara yang berada dalam NCAA Divisyen 1 dan berharap pada masa hadapan saya dapat melihat lebih ramai lagi atlet-atlet dari Malaysia yang berani dan sanggup untuk ambil risiko korbankan semuanya untuk kembangkan karier sukan,”

katanya.

Tambahnya lagi, atlet-atlet pecut yang beraksi di Olimpik majoritinya adalah atlet yang beraksi di NCAA Divisyen 1.

Dalam pada itu, Azeem juga tampil untuk menjelaskan mengenai spekulasi ramai yang menganggap dirinya dihantar ke Amerika Syarikat untuk berlatih sepenuh masa sedangkan beliau ke sana untuk menyambung pengajiannya dan beliau adalah seorang atlet pelajar.

“Ramai yang beranggapan saya dihantar ke Amerika Syarikat untuk berlatih sepenuh masa tetapi sama sekali tidak benar sebab saya berkelana ke Amerika Syarikat untuk menyambung pelajaran dan latihan saya setelah saya diberikan ruang dan peluang untuk menerima biasiswa penuh yang ditawarkan oleh universiti saya iaitu Auburn University.

Jadi saya sebenarnya adalah seorang atlet pelajar yang komited terhadap universiti saya 100 peratus apabila saya berada dalam musim NCAA. Mungkin ramai tidak sedar bahawa ramai juara dunia datang dari NCAA.”

Sementara itu, Azeem yang beraksi di Sukan Olimpik Paris 2024 buat pertama kali atas tiket ‘wild card’ gagal mara ke saringan kedua dan gagal memperbaiki catatan masa terbaiknya.

Biarpun kurang cemerlang, namun sasaran utama Azeem adalah untuk menjadi salah seorang pelari pecut terpantas di Asia pada tahun 2025.