Kalau mahu sampai tahap tertinggi, saya perlu berusaha lebih lagi – Aisyah Zubir

63

Pelumba berbasikal lebih raya wanita negara, Nur Aisyah Mohamad Zubir meluahkan rasa kecewanya apabila penampilan pertamanya di temasya Sukan Olimpik Paris 2024 tidak berjalan dengan lancar seperti yang dirancang.

Ia susulan Aisyah menjadi antara 14 pelumba yang direkodkan sebagai tidak menamatkan perlumbaan sejauh 158 kilometer (km).


“Tak tahu nak cakap macam mana tapi memang saya kecewa dan secara peribadi saya rasa banyak lagi kurang jadi kalau saya nak sampai tahap macam mereka (pelumba terbaik dunia) saya perlu berusaha lebih banyak lagi,”

katanya.

Aisyah turut mengakui cuaca panas terik menjadi antara salah satu faktor utama beliau gagal menghabiskan perlumbaan itu.

Dalam pada itu, Aisyah berkata untuknya menjadi salah seorang pelumba yang hebat beliau perlu lebih banyak menyertai perlumbaan yang turut disertai oleh nama-nama besar.

“Saya perlu tingkatkan dari segi fizikal dan saya juga perlu lebih banyak berlatih dan menyertai perlumbaan yang disertai oleh mereka (pelumba nama besar) supaya saya dapat tingkatkan prestasi sekaligus dapat beri saingan.”

Biarpun penampilan pertamanya tidak berjalan lancar seperti yang dirancang tetapi ia sedikit pun tidak mematahkan semangat Aisyah, sebaliknya beliau bertekad untuk terus berusaha dan mahu membuktikan bahawa Malaysia juga mempunyai pelumba berkelas dunia.

Terdahulu, Aisyah mencipta sejarah apabila menjadi pelumba berbasikal lebih raya wanita Malaysia yang pertama beraksi di Olimpik selepas Persekutuan Kebangsaan Berbasikal  Malaysia (PKBM) memberikan slot ‘wild card’ kepadanya.