Daddyhood berehat seketika dari MPL MY bagi beri perhatian pada keluarga
Pengasas pasukan e-sukan Mobile Legends Bang Bang (MLBB) terkenal Homebois, Daddyhood telah mengambil keputusan untuk berehat seketika dari saingan Mobile Legends: Bang Bang Profesional League Malaysia (MPL MY) musim ke-14.
Daddyhood mengambil keputusan tersebut kerana mahu memberi tumpuan dan meluangkan masa bersama keluarganya.
“Ini merupakan laporan perubatan isteri saya dan benda ini memang sedih untuk saya kerana saya berjuang untuk keluarga dan hari ini saya beritahu saya buat kesilapan, saya mempunyai seorang anak Bernama Ian dan dia baru dapat kad OKU (Orang Kelainan Upaya).
Antara salah sebab anak saya dapat kad OKU adalah sebab saya tak tengok dia membesar. Tak akan saya nak tipu bab kesihatan,”
katanya.
Beliau bagaimanapun berkata pendedahan mengenai perkara itu bukannya untuk minta simpati orang ramai, sebaliknya mahu jelaskan perkara sebenar yang berlaku pada dirinya.
Tambahnya lagi, disebabkan itu beliau mengambil keputusan untuk berehat seketika dari menguruskan Homebois dan memberi sepenuh tumpuan kepada isteri dan anaknya.
Dalam pada itu, susulan ketiadaan Daddyhood pasukan Homebois akan diuruskan oleh Ketua Pegawai Operasi, Abey sepanjang musim 14 nanti.
Terdahulu, Daddyhood telah tampil membuat sidang media yang berlangsung di ESI HUB Esports Integrated bagi menjawab tuduhan surat layang kepada dirinya dan juga Homebois.