DNA Faisal Halim mahu cungkil bakat baru untuk masa hadapan – Halim Saad

90

Bapa kepada pemain bola sepak kebangsaan terkemuka Faisal Halim iaitu Abdul Halim Saad memberitahu Kelab Bola Sepak DNA Faisal Halim diwujudkan bagi mencungkil dan melahirkan lebih ramai bakat baru untuk masa hadapan.

“Bola sepak ini boleh dikatakan adalah salah satu darah daging saya. Bukan kerana Faisal sahaja tapi saya juga merupakan salah seorang peminat bola sepak dan mahu membangunkan bola sepak negara.

Oleh sebab itu kita mahu mencungkil bakat-bakat baru yang ada untuk masa hadapan yang mana mereka ini adalah aset negara,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Halim berkata demikian ketika ditemui pada kejohanan 4ward Harimau Malaya Junior Cup 2024 yang berlangsung di Xfox Sport Arena, Subang Bestari yang mana pasukannya DNA Faisal Halim turut sama bertanding.


Dalam pada itu, Halim turut meluahkan rasa bersyukur dan terima kasih kepada semua pihak yang mendoakan kesejahteraan anaknya itu selepas Faisal atau lebih mesra dengan panggilan Mickey menjadi mangsa simbah asid.

“Saya bagi pihak keluarga dan seluruh peminat bola sepak berasa amat bersyukur dengan pertolongan dan doa daripada semua dan Allah percepatkan proses pemulihannya.”

Terdahulu selepas lebih tiga bulan tidak dapat diturunkan, Mickey telah kembali membuat penampilan di atas padang ketika perlawanan Liga Super membabitkan Selangor FC dan Kelantan Darul Naim FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) baru-baru ini.

Sementara itu, Halim turut menyeru orang ramai untuk pergi ke pawagam untuk menyaksikan filem “Harimau Malaya: The Untold Journey” yang mana beliau berkata banyak nilai-nilai murni yang diterapkan dalam filem tersebut yang boleh dijadikan sebagai motivasi dan inspirasi kepada semua.