Hai-O teruja menanti tayangan filem “Harimau Malaya: The Untold Journey”
Bekas pemain bola sepak kebangsaan, Hairuddin Omar mengakui teruja untuk menanti tayangan filem yang diinspirasikan dari kisah sebenar iaitu “Harimau Malaya: The Untold Journey” yang akan menemui penonton di seluruh negara bermula 15 Ogos ini.
Menurut Hairuddin atau lebih dikenali sebagai Hai-O, filem ini akan memperlihatkan mengenai perjalanan seorang pemain bola sepak yang penuh dengan onak dan duri.
“Cukup teruja menanti tayangan filem ini (Harimau Malaya) dan saya difahamkan filem ini akan berkisarkan tentang liku-liku seorang pemain bola sepak kebangsaan dan macam mana ia diceritakan dalam filem untuk tatapan semua.
Saya harap peminat bola sepak dapat memberi sokongan dengan menonton filem ini beramai-ramai untuk melihat bagaimana perjalanan dan karier seorang pemain bola sepak,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Hai-O ditemui selepas perlawanan persahabatan di antara barisan pemain “Harimau Malaya: The Untold Journey” dan bekas pemain kebangsaan yang berlangsung di Xfox Sport Arena, Subang Bestari.
Beliau juga berharap filem terbitan 4ward Pictures Sdn Bhd mendapat kutipan pecah panggung dan sekaligus beri impak positif kepada industri filem pada masa dapat menarik minat orang ramai terhadap sukan bola sepak.
Sementara itu, Hai-O kini merupakan ketua jurulatih untuk pasukan Terengganu FC II (TFC II) yang bertanding dalam saingan Piala MFL.