TCH harap lebih ramai pemain bola sepak berbangsa Cina akan sarung jersi Harimau Malaya satu hari nanti

161

Bekas ketua jurulatih pasukan kebangsaan Malaysia, Tan Cheng Hoe berharap lebih ramai lagi pemain bola sepak berbangsa Cina akan menyarung jersi Harimau Malaya satu hari nanti seperti dahulu.

“Kalau kita lihat sejarah pada sebelum-sebelum ini memang ramai pemain bola sepak berbangsa Cina berkhidmat untuk negara dan kita mengharapkan pada masa hadapan suatu hari nanti lebih ramai berkecimpung dalam bola sepak dan mewakili pasukan kebangsaan juga,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Cheng Hoe turut memuji inisiatif yang dilakukan oleh Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) di Sungai Petani, Kedah yang menganjurkan saingan liga di peringkat pembangunan akar umbi Liga Bola Sepak SJKC Kuala Muda.


Dalam pada itu, Cheng Hoe juga menyedari kebimbangan ibu bapa untuk anak mereka jadikan bola sepak sebagai karier.

“Ya memang ramai ibu bapa khuatir tentang masa depan anak-anak mereka kerana melihat tidak menganggap bola sepak sebagai kerjaya mereka untuk masa hadapan tetapi kalau kita dapat menguruskan anak-anak dengan baik dari segi disiplin mereka dan dapat tingkatkan prestasi dari semasa ke semasa mereka bukan sahaja dapat bermain di negara Malaysia, malah dapat pergi lebih jauh lagi di luar negara.”

Oleh sebab itu beliau turut menggalakkan dan beri nasihat kepada ibu bapa supaya tidak bimbang sekiranya anak mereka fokus pada bola sepak.

“Jika mereka boleh fokus pelajaran dan bola sepak itu satu perkembangan yang cukup sihat untuk anak-anak muda pada masa hadapan nanti.”