Ong Mok Hooi bangga bawa SCRC jadi juara Piala MCFA enam kali berturut-turut
Ketua jurulatih pasukan Selangor Chinese Recreation Club (SCRC), Ong Mok Hooi telah mencipta sejarah tersendiri apabila berjaya membawa pasukan itu untuk muncul sebagai juara kejohanan Piala MCFA Edisi ke-71.
Menurut Ong Mok Hooi, apa yang lebih membanggakan adalah beliau berjaya menjulang kejuaraan itu dengan pasukan yang sama sejak beliau kendalikan.
“Saya berasa cukup bangga apabila pasukan dibawah kendalian saya sudah menjadi juara sebanyak enam kali. Saya rasa saya sudah catat satu sejarah dalam bola sepak Cina iaitu satu pasukan, satu manager dan enam kali juara.
Diharap dengan kejayaan kami ini akan jadi sasaran untuk pasukan lain untuk kejar. Bila ada persaingan sengit dan sihat baru kita boleh maju,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Pada perlawanan akhir tersebut, SCRC berjaya menewaskan Negeri Sembilan menerusi penentuan sepakan penalti.
SCRC mempamerkan permainan yang cukup konsisten sepanjang kejohanan yang mana mereka hanya bolos sekali sahaja pada perlawanan akhir.
“Memang nampak barisan pertahanan sudah ‘slow’ dan cuai menyebabkan kita bolos dan gol tersebut menjadi satu-satunya gol yang kita bolos sepanjang kejohanan ini.”
Dalam pada itu, Ong Mok Hooi juga memberi bayangan bahawa beliau akan mengundurkan diri dari pasukan tersebut kerana mahu memberi ruang dan peluang kepada jurulatih baharu untuk mengendalikan pasukan tersebut.
Beliau pada masa sama juga berkata barisan pemain juga perlu dirombak kerana majoriti pemain sedia ada ketika ini sudah pun berusia.
“Saya rasa untuk tahun hadapan perlu ada perubahan terutamanya membawa masuk pemain-pemain muda kerana ketika ini ada pemain kita yang berusia 30 tahun.
Oleh itu saya harap kita akan dapat lebih ramai pemain muda berbakat.”