Kita kena kerja kuat lagi untuk tingkatkan tahap Piala MCFA di masa hadapan – Jeffrey Low
Presiden Persatuan Bola Sepak Cina Malaysia (MCFA), Datuk Jeffrey Low Han Chau mengakui ada peningkatan dari segi tahap dalam penganjuran kejohanan Piala MCFA kali ke-71 pada tahun ini.
Menurut Jeffrey, biarpun ada peningkatan tetapi beliau berkata mereka masih perlu bekerja dengan lebih keras lagi untuk terus tingkatkan tahap kompetitif.
“Saya rasa memang ada sedikit ‘improvement’ tapi saya tetap merasakan kita masih perlu lebih ‘improve’ banyak.
Kita kena kerja kuat lagi untuk tingkatkan tahap kami ke tahap lebih tinggi lagi. Jika kita bandingkan dengan kejohanan-kejohanan lain kita masih ada ruang untuk ‘improve’ lagi,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Piala MCFA edisi ke-71 telah pun melabuhkan tirainya dengan pasukan Selangor Chinese Recreation Club (SCRC) berjaya menjadi juara buat kali keenam berturut-turut selepas menewaskan Negeri Sembilan menerusi penentuan sepakan penalti.
Dalam pada itu, Jeffrey juga memberitahu bahawa beliau terus membantu bola sepak Cina selagi beliau mampu biarpun kini sudah berusia.
“Harap saya dapat teruskan kerana saya pun sudah berusia dan sudah lama dalam dunia bola sepak. Apa pun saya akan cuba bantu mana yang boleh biarpun saya tidak lagi menjadi Presiden kerana sukan adalah ‘passion’ saya.”
Sementara itu, beliau juga berharap agar kejohanan Piala MCFA mendapat lebih banyak publisiti untuk membantu beri kesedaran kepada orang ramai mengenai kejohanan itu.