Sabah FC tempang turun beraksi menentang Selangor FC malam ini

86

Pasukan Sabah FC akan berhadapan cabaran besar pada perlawanan Liga Super menentang Selangor FC di Stadium Likas malam ini selepas empat tonggak utamanya tidak dapat diturunkan dek mengalami kecederaan.

Menurut ketua jurulatih Datuk Ong Kim Swee, empat pemain tersebut adalah Park Tae-soo, Gabriel Peres, Stuart Wilkin dan Miguel Cifuentes.


“Bagi Sabah FC, kemenangan menentang Sri Pahang FC di Temerloh tempoh hari sangat positif untuk kita bersiap sedia memberikan tentangan hebat kepada Selangor malam ini.

Kita tahu Selangor mendapat kemenangan ketika beraksi di luar sebelum ini dan layak ke final Piala FA dan sudah pasti ia akan memberikan satu cabaran yang cukup sengit beraksi di Kota Kinabalu,”

katanya dalam satu kenyataan media.

Dalam pada itu, Kim Swee juga menyeru agar pemain-pemainnya tidak memandang rendah pasukan lawan dan berada pada tahap terbaik dan bersedia untuk aksi malam ini.

“Kita tahu berdasarkan rekod, Sabah mempunyai kelebihan bermain di gelanggang sendiri berikutan sokongan padu daripada para penyokong.

Apa yang penting semua pemain perlu bersiap sedia dari segi mental dan fizikal sekaligus memberikan komitmen penting untuk mencapai keputusan positif.”

Sementara itu, skuad The Rhinos kini berada di kedudukan keempat liga selepas tujuh perlawanan hasil empat kemenangan, satu seri dan dua kekalahan.