Harap “Harimau Malaya: The Untold Journey” dapat beri inspirasi kepada generasi akan datang – Nashrul Nasir

118

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 4ward Pictures Sdn. Bhd, Nashrul Nasir berharap filem “Harimau Malaya: The Untold Journey” dapat memberi inspirasi kepada generasi akan datang.

“Saya rasa bangga sebagai rakyat Malaysia dan berharap terhasilnya filem ini ia dapat memberi inspirasi kepada generasi akan datang satu dari segi sukan dan kedua semangat cintakan negara, jadi itulah harapan saya ketika ini,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Nashrul pada masa sama turut berasa terharu dengan sambutan dan maklum balas daripada penonton yang menonton ketika tayangan pada Malam Gala Premiere “Harimau Malaya: The Untold Journey” yang berlangsung di Petaling Jaya semalam.


“Terus terang saya sangat terharu dengan sambutan yang diberikan yang mana kita dapat lihat ada yang gelak ketika babak jenaka dan ada yang menangis pada babak emosi. Jadi saya cukup terharu dengan maklum balas yang diterima.”

Dalam pada itu, Nashrul juga menjelaskan bahawa filem tersebut bukan sekadar filem sukan semata-mata sebaliknya ia sebuah naskhah kemanusian.

“Filem ini bukan berkisarkan sukan semata-mata tapi sebuah filem kemanusian yang dapat menyentuh dan memberi kesan kepada kita semua.”

Filem arahan pengarah tersohor tanah air Datuk Afdlin Shauki itu berkisarkan mengenai perjalanan pasukan kebangsaan Harimau Malaya untuk melayakkan diri ke kejohanan Piala Asia selepas 42 tahun.