Hampir menangis tonton filem “Harimau Malaya: The Untold Journey” – Tabby
Pelakon dan penyanyi popular, Tabby mengakui beliau hampir menangis ketika menonton filem “Harimau Malaya: The Untold Journey” kerana ada babak yang cukup menyentuh hatinya.
“Saya hampir menangis tonton filem ini tapi terpaksa tahan kerana mahu jaga maskara (selorohnya). Saya seorang ‘family person’ jadi apabila menonton babak dengan ibu itu memang menyentuh hati dan buat saya rasa nak menangis,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Tabby yang merupakan salah seorang anggota kumpulan muzik popular Dolla turut meluahkan rasa bersyukur dan berterima kasih kepada pengarah filem iaitu Datuk Afdlin Shauki kerana memberinya peluang untuk buat penampilan pertamanya di layar perak.
“Terkejut sangat apabila dapat tengok diri saya di layar perak. Ini adalah kali pertama saya berlakon filem dan saya bersyukur sangat dan berterima kasih kepada Datuk Afdlin kerana beri peluang kepada saya.”
Dalam pada itu, Tabby juga mengakui mengikuti perkembangan bola sepak tempatan terutamanya pasukan kebangsaan Harimau Malaya.
“Sebenarnya saya suka dengan Mickey (Faisal Halim). Dalam filem itu beliau nampak cukup berkarisma dan saya rasa beliau bawa ‘joy to the team’.”
Naskhah terbitan 4ward Picutures Sdn Bhd itu berkisarkan mengenai perjalanan pasukan kebangsaan Harimau Malaya untuk melayakkan diri ke kejohanan Piala Asia selepas 42 tahun.