Mahu berehat dahulu, cari diri dan cari cinta saya untuk sukan itu semula – Bertrand Rhodict
Atlet terjun negara, Bertrand Rhodict Lises berkata beliau akan berehat dahulu dan mahu mencari semula cintanya terhadap sukan terjun selepas pulang dari temasya Sukan Olimpik Paris 2024.
“Saya mahu berehat seketika yang mana saya perlu cari diri saya sendiri dan cari cinta saya untuk sukan ini semula kerana ketika ini saya berada pada tahap tak berapa baik,”
katanya.
Terdahulu pada Olimpik baru-baru ini impian Rhodict mahu mara ke peringkat separuh akhir acara 10 meter (m) platform individu tidak berjaya selepas beliau kandas di pusingan kelayakan selepas menamatkan saingan di kedudukan ke-25 daripada 26 peserta.
Dalam pada itu, atlet terjun berusia 19 tahun itu turut mendedahkan bahawa beliau pernah hilang keyakinan diri pada satu seketika sebelum menemuinya semula sebelum temasya Olimpik.
“Pada satu ketika saya berasa hilang diri dan keyakinan dan tidak tahu apa tujuan saya tapi saya bersyukur kerana sebelum Olimpik saya kembali menemui diri saya.
Sejujurnya ia bukan satu pengalaman yang baik untuk saya tapi ia satu pengalaman pelajaran yang baik buat saya.”
Sementara itu, Rhodict juga berkata beliau akan memulihkan kecederaan yang dialaminya sepanjang tempoh persiapan ke Olimpik ketika berehat panjang nanti.