Kami mohon maaf kepada rakyat Malaysia kerana tidak dapat bawa pulang pingat emas Olimpik – Hannah Yeoh

48

Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh tampil membuat permohonan maaf kepada seluruh rakyat Malaysia selepas kontinjen negara ke Sukan Olimpik Paris 2024 gagal membawa pulang pingat emas pertama negara.

“Terlebih dahulu saya mewakili kontinjen Malaysia memohon maaf kepada semua rakyat Malaysia kerana kami masih belum berjaya untuk membawa pulang pingat emas pertama bagi Malaysia.

Seperti yang diumumkan projek Road to Gold (RTG) adalah untuk dua Sukan Olimpik iaitu Sukan Olimpik Paris 2024 dan Sukan Olimpik LA 2028 tetapi apa yang kita lihat ketika ini yang nyata ada peningkatan dalam atlet-atlet RTG,”

katanya.

Tambah Hannah lagi, beliau turut gembira dengan peningkatan prestasi beberapa atlet negara yang berjaya membuat rekod kebangsaan yang baharu iaitu Datuk Azizulhasni Awang (berbasikal trek), Nurul Izzah Izzati (berbasikal trek) dan Aniq Kasdan (angkat berat).


Selain rekod kebangsaan, terdapat juga atlet yang berjaya memperbaharui rekod peribadi mereka di temasya itu.

Dalam pada itu, Hannah memberitahu bahawa Jawatankuasa RTG akan bermesyuarat dalam masa terdekat ini bagi mendapatkan laporan teknikal penuh daripada semua pasukan.

“Kita juga sedang menyediakan akaun yang akan diaudit dan saya akan bentangkan sendiri di Parlimen kerana kita akan menjawab isu mengenai akaun yang telah kita gunakan secara telus untuk ‘top up service’.

Semua permintaan dan ‘top up service’ yang diminta oleh pemegang taruh kita iaitu jurulatih dan atlet-atlet RTG telah pun kita tunaikan sebelum mereka ke sana.”

Hannah berkata demikian ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam.