Minta maaf kerana tak dapat ‘deliver’ pingat emas tapi kita tidak lihat ia sebagai satu kegagalan – Azizulhasni Awang
Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang memohon maaf kepada rakyat Malaysia selepas mereka gagal untuk menghadiahkan pingat emas pertama buat Malaysia di temasya Sukan Olimpik Paris 2024 baru-baru ini.
Menurut Azizulhasni, biarpun mereka tidak dapat sebarang pingat tetapi beliau tidak melihat perkara itu sebagai satu kegagalan.
“Saya dengan rendah diri ingin memohon maaf kerana kita tidak dapat ‘deliver’ pingat emas seperti yang diharapkan. Seperti yang diberitahu oleh YB Hannah Yeoh dan Coach John Beasle kita tidak melihat perkara ini sebagai satu kegagalan.
Tapi saya percaya Shah Firdaus akan menyambung usaha kita ini dan saya percaya pada keupayaan beliau bersama Nurul Izzah dan beberapa pelumba lain.
Malang sedikit untuk saya kenapa pengakhiran macam ini untuk kali ini. Memang dari peringkat awal lagi saya sangat gembira dengan semua yang kita ada kerana dari segi persiapan semuanya lengkap dan saya ke Paris dengan semangat luar biasa,”
katanya.
Azizulhasni turut menafikan bahawa dirinya berasa gugup atau gementar langsung ketika di sana sebaliknya cukup bersemangat untuk mendapatkan pingat emas untuk negara tetapi malangnya perkara sebaliknya berlaku.
Terdahulu, harapan negara untuk mendapatkan pingat emas pertama berkecai selepas Azizulhasni tersingkir daripada saringan pertama acara keirin lelaki selepas penyertaannya dibatalkan dek didakwa melintas pacer terlalu awal.
Dalam pada itu, pelumba berusia 36 tahun itu juga berharap agar program Road to Gold (RTG) dapat diteruskan.
“Saya harap program RTG dapat diteruskan untuk pelumba seterusnya kerana seperti semua sedia maklum karier saya sudah berakhir. Ia bukan lagi tentang diri saya sebaliknya ialah kepada generasi seterusnya.
Atlet-atlet kita memerlukan satu program yang mantap untuk mereka teruskan bagi Olimpik seterusnya di Los Angeles pada 2028.”
Sementara itu, Azizulhasni turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang menyokongnya sejak awal kariernya sehingga ke hari ini.