John Beasle harap program RTG diteruskan sehingga Olimpik Brisbane 2032

28

Jurulatih berbasikal trek negara, John Beasle berharap agar program Road to Gold (RTG) dapat diteruskan lagi sehingga Sukan Olimpik Brisbane 2023 sebelum penilaian dapat dilakukan samada program tersebut berjaya atau tidak.

Menurut Beasle, program RTG yang baru diwujudkan untuk persiapan atlet untuk ke Olimpik Paris 2024 baru-baru ini telah memperlihatkan peningkatan prestasi atlet-atlet biarpun mereka gagal bawa pulang sebarang pingat untuk temasya kali ini untuk skuad berbasikal trek.


“Saya ingin beritahu program RTG bermula pada Mac tahun lalu jadi ia masih baru jadi saya rasa kita perlu teruskan lagi dan bukannya berhenti. Jika anda bertanya kepada staf-staf yang berada dalam RTG mereka boleh beritahu betapa bagusnya ia berjalan.

Kita perlukan program elit jadi tolong beri sokongan dan jangan bubarkan kerana atlet-atlet perlukan program ini jika kita mahu dapatkan pingat emas. Ia bukan kita tidak berjaya capai sasaran pingat emas tapi bila, jadi biarkan kami terus buat kerja dan dapat sokongan tanpa campur tangan politik.

Ini adalah program elit jadi semua harus faham ia akan mengambil masa yang lama untuk kita bina. Biarpun kita tidak berjaya bawa pulang pingat kali ini tapi anda sudah lihat peningkatan prestasi jadi program RTG perlu diteruskan sehingga Olimpik Brisbane sebelum sebarang penilaian dapat dibuat,”

katanya.

Biarpun kontinjen Malaysia hanya berjaya membawa pulang dua pingat gangsa pada temasya edisi kali ini tetapi ramai atlet negara berjaya pecah rekod kebangsaan dan rekod peribadi.

Dalam pada itu, Beasle berkata sekiranya program RTG diteruskan tanpa sebarang gangguan beliau yakin impian untuk memperoleh pingat emas pertama di Olimpik mampu menjadi kenyataan.

“Jika anda hentikan dan kemudian mula balik kita perlu bermula dari bawah semula. Kami tahu apa yang kami buat dan ia perlukan masa untuk bina sesuatu yang istimewa.”