Jawatankuasa RTG akan menyokong penuh apa sahaja keputusan Azizulhasni – Hannah Yeoh

22

Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh memberitahu bahawa pihaknya akan memberikan masa buat jaguh berbasikal trek negara iaitu Datuk Azizulhasni Awang untuk berbincang dengan keluarganya terlebih dahulu untuk menentukan masa hadapanya.

Menurut Hannah, beliau bersama Jawatankuasa Road to Gold (RTG) akan menyokong penuh apa sahaja keputusan yang dibuat oleh Azizulhasni nanti.


“Saya telah meminta beliau (Azizulhasni) untuk mengambil masa untuk berbincang dengan keluarga dahulu dan Jawatankuasa RTG memang kita akan menyokong keputusan beliau.

Selagi beliau mahu berlawan dan selagi badan beliau boleh kita akan beri sokongan, jadi beri masa untuk beliau berbincang dengan keluarga terlebih dahulu,”

katanya.

Hannah berkata demikian berikutan Azizulhasni sebelum ini ada membuat hantaran memberi bayangan mahu bersara dari sukan berbasikal trek selepas insiden tersingkir di temasya Sukan Olimpik Paris 2024 baru-baru ini.

Dalam pada itu, Azizulhasni juga mengakui perlukan masa terlebih dahulu untuk berbincang bersama keluarga sebelum fikir samada mahu terus berlumba atau tidak.

“Pasukan saya memang berharap saya dapat mempertimbangkan semula keputusan saya untuk teruskan sampai LA nanti, tapi saya perlukan masa ‘sit down’ bersama keluarga dan ‘clear my mind’ kerana apa yang berlaku adalah sesuatu yang tidak biasa berlaku dalam karier saya.

Mereka (pasukan saya) juga tahu jika saya berhenti pun saya tetap akan aktif dengan sukan berbasikal dan paling penting jika mereka memerlukan bantuan insyaAllah saya akan pertimbangkan tapi buat masa sekarang saya perlukan masa.”