Sophia Albarakbah tiada masalah jayakan watak dalam “Harimau Malaya: The Untold Journey”
Pelakon popular, Sophia Albarakbah memberitahu beliau tiada masalah untuk menjayakan wataknya sebagai teman wanita kepada pemain bola sepak kebangsaan dalam filem terbarunya “Harimau Malaya: The Untold Journey”.
Menurut Sophia, biarpun watak tersebut tidak mencabar tetapi beliau tetap membuat ulang kaji untuk menjayakan wataknya itu.
“Pertama sekali saya tidak tahu banyak mengenai bola sepak tanah air dan watak saya pun sebagai teman wanita pemain bola sepak jadi sebelum mula penggambaran ada la buat sedikit ‘homework’ pasal bola sepak dan cuba menyesuaikan diri dengan bola sepak dan bagaimana nak jadi ‘whack’ sebagai teman wanita pemain bola sepak.
Itu adalah ‘homework’ yang saya buat sebelum mula penggambaran tapi bagi saya watak itu tidak mencabar tapi ia sangat menyeronokkan,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Dalam pada itu, Sophia juga mendedahkan antara faktor beliau bersetuju untuk terlibat dalam filem “Harimau Malaya” kerana genrenya tentang sukan yang jarang dihasilkan.
“Bukan selalu ada filem bergenre kesukanan ini yang berkisarkan mengenai bola sepak dan semua sedia maklum bahawa bola sepak adalah sangat dekat dengan rakyat Malaysia jadi bila saya dapat tawaran ini saya cepat-cepat setuju.”
Tambahnya lagi, satu lagi faktor membuatnya setuju untuk membintangi filem tersebut adalah kerana ia diarahkan oleh pengarah terkemuka Datuk Afdlin Shauki yang mana ini merupakan kali pertama beliau berlakon dibawah arahannya.
Filem terbitan 4ward Pictures Sdn Bhd berkisarkan mengenai perjalanan pasukan kebangsaan Harimau Malaya untuk melayakkan diri ke kejohanan Piala Asia selepas 42 tahun.