“Harimau Malaya: The Untold Journey” dedah ‘struggle’ yang dihadapi Presiden FAM & pemain – Aiman Roshizam

54

Pelakon sebagai pengulas sukan dalam filem “Harimau Malaya: The Untold Journey”, Aiman Roshizam berkata filem itu bukan sahaja menceritakan mengenai perjalanan pasukan kebangsaan Malaysia yang dalam misi untuk ke Piala Asia tetapi juga ia memaparkan kisah disebalik tadbir pasukan.

Menurut Aiman, ramai peminat yang tidak tahu dengan kesusahan dan kepayahan yang dilakukan oleh Presiden FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia), Datuk Hamidin Mohd Amin, pihak pengurusan pasukan dan pemain sendiri.


“Sebenarnya tak semua orang tahu ‘struggle’ Presiden FAM, pengurusan dan pemain yang perlu ‘cope’ bukan dengan kehidupan sebagai pemain bola sepak sahaja tetapi juga di luar padang.

Mereka perlu pastikan sentiasa dapat ‘perform’ apabila di atas padang dan dapat menangani isu di luar padang seperti keluarga atau teman wanita. Belum lagi isu-isu lain yang kita sendiri tahu.

Oleh sebab itu saya suka dengan filem ini kerana ia memaparkan sisi lain seorang pemain bola sepak,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Aiman berkata demikian ketika ditemui di Gala Premiere filem “Harimau Malaya: The Untold Journey” yang berlangsung di The Starling Mall, Petaling Jaya.

Dalam pada itu, Aiman turut mengakui kepentingan penyokong bola sepak kerana tanpa mereka tiada bola sepak.

“Tanpa penyokong (Ultras Malaya) siapalah pemain itu, apalah sukan tu, ‘scene’ itu tidak akan rancak dan mati macam tu je tanpa penyokong. Tanpa penyokong bukan sahaja pemain tidak akan wujud, malah saya juga tak wujud kerana kita saling melengkapi antara satu sama lain.”

Sementara itu, filem terbitan 4ward Pictures Sdn Bhd diarahkan oleh Dato’ Afdlin Shauki berkisarkan mengenai perjalanan pasukan kebangsaan Harimau Malaya untuk melayakkan diri ke kejohanan Piala Asia selepas 42 tahun.