Banyak momen menarik dalam “Harimau Malaya: The Untold Journey” – Namron

83

Pelakon popular Namron memberitahu beliau tidak dapat memilih babak manakah yang memberi impak besar kerana banyak momen-momen menarik terdapat dalam filem “Harimau Malaya: The Untold Journey”.

“Dalam filem ini ada banyak momen sebenarnya, antaranya momen hubungan antara Meerqeen dan ibunya yang mana ia mencetuskan rasa sebak dan sedih.

Kemudian pada perlawanan yang mana mereka (Malaysia) menang dan layak ke Piala Asia itu pula mencetuskan rasa keterujaan semua jadi banyak momen-momen macam itu jadi saya tak boleh bagi satu momen saja,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Namron berkata demikian ketika ditemui selepas majlis tayangan Gala Premiere “Harimau Malaya: The Untold Journey” yang berlangsung di The Starling, Petaling Jaya baru-baru ini.


Dalam pada itu, bercerita lanjut mengenai wataknya sebagai wartawan sukan yang mana beliau menjayakan watak tersebut bagi mewakili wartawan-wartawan sukan di negara ketika itu.

“Saya bawa watak sebagai seorang wartawan sukan yang ‘passionate’ dengan bola sepak Malaysia dan sayang dengan bola tanah air tapi kecewa bila asyik kalah saja, jadi saya sebagai wartawan dalam filem ini merasakan saya mewakili wartawan sukan yang ada di luar.”

Filem terbitan 4ward Pictures Sdn Bhd yang diarahkan oleh Dato’ Afdlin Shauki ini berkisarkan mengenai perjalanan pasukan kebangsaan Harimau Malaya untuk melayakkan diri ke kejohanan Piala Asia selepas 42 tahun.

“Harimau Malaya: The Untold Journey” sudah pun mula ditayangkan di pawagam seluruh negara sejak 15 Ogos lalu.