Nabil Zakaria akui gemuruh untuk jayakan watak Faisal Halim
Pelakon muda Nabil Zakaria mengakui berasa gementar apabila diberi kepercayaan untuk menjayakan watak pemain bola sepak terkemuka tanah air Faisal Halim atau lebih dikenali dengan panggilan Mickey dalam filem “Harimau Malaya: The Untold Journey”.
“Memegang watak Mickey yang mana semua orang kenal beliau buat saya berasa gementar pada masa sama sedikit menakutkan.
Apabila saya ditawarkan watak Mickey ini kita tahu beliau merupakan pemain bola sepak terbaik Malaysia jadi memang saya gementar tapi Alhamdulillah semuanya okay dan berjalan dengan lancar,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Nabil pada masa sama juga mengajak orang ramai untuk terus mendoakan kesejahteraan buat pemain kebangsaan itu selepas menjadi mangsa simbah asid baru-baru ini.
Dalam pada itu, Nabil yang sudah pun menonton filem tersebut nyata berpuas hati dengan jalan cerita yang ditampilkan dalam filem itu dan berharap orang ramai akan turun ke pawagam untuk memberikan sokongan.
Nabil berkata demikian ketika ditemui selepas tamat tayangan Gala Premiere “Harimau Malaya: The Untold Journey” yang berlangsung di The Starling Mall, Petaling Jaya baru-baru ini.
Filem terbitan 4ward Pictures Sdn ini dibarisi oleh ramai pelakon-pelakon hebat seperti Namron, Tony Eusoff, Meerqeen, Amelia Henderson, Sophia Albarakbah, Aiman Hakim Ridza, Aidil Aziz, Erra Fazira dan ramai lagi.
Naskhah arahan Dato’ Afdlin Shauki ini berkisarkan mengenai perjalanan pasukan kebangsaan Harimau Malaya untuk melayakkan diri ke kejohanan Piala Asia selepas 42 tahun.