Faisal Halim di landasan tepat untuk kembali ke prestasi sebenar – Nidzam Jamil

91

Ketua jurulatih Selangor FC, Nidzam Jamil memberitahu bahawa pemain sensasi Faisal Halim belum lagi berada pada tahap terbaik namun pemain itu berada di landasan tepat untuk kembali ke prestasi sebenarnya.

“Kita gembira dengan beliau (Faisal Halim) kerana beliau akan melalui fasa-fasa seperti ini dan sudah tentu beliau masih belum sampai ke tahap yang kita semua jangkakan tapi beliau dalam landasan terbaik.

Oleh sebab itu beliau diturunkan pada perlawanan seperti ini (Piala Sultan Selangor 2024) untuk dapat ‘game tamperament’ yang mana beliau akan kembali tidak lama lagi,”

katanya.

Nidzam berkata demikian selepas tamat perlawanan Piala Sultan Selangor 2024 diantara Selangor Selection dan Singapore Selection yang menyaksikan tuan rumah berjaya menang 2-1.


Pada aksi tersebut turut menyaksikan Faisal Halim turun beraksi untuk tempoh 45 minit pada separuh masa pertama dan beliau juga menggalas tanggungjawab sebagai ketua pasukan.

Dalam pada itu, Nidzam gembira apabila tiada pemainnya yang cedera pada perlawanan tersebut dan pasukan banyak dapat perkara positif untuk dibawa ke perlawanan akhir Piala FA.

“Kita gembira dengan persembahan pasukan dan banyak perkara yang positif dalam perlawanan ini untuk kita bawa ke final Piala FA minggu depan.”

Sementara itu, Selangor akan turun menentang juara bertahan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada 24 Ogos ini untuk perlawanan akhir Piala FA 2024 yang akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).