Pasukan tahu kita bawa nama Selangor & Malaysia, jadi kita akan buat terbaik di ACL 2 – Dr Johan Kamal

54

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon memberitahu mereka sedar cabaran besar yang menanti mereka dalam saingan AFC Champions League 2 (ACL 2) yang akan berlangsung pada bulan September depan.

Menurut Johan, setiap pemain dan jurulatih sedar bahawa mereka membawa nama Selangor dan Malaysia di pentas Asia.


“Para pemain dan jurulatih tahu kita mempunyai tanggungjawab besar untuk bawa nama Selangor dan Malaysia jadi sudah semestinya setiap pasukan yang ditentang kita akan buat yang terbaik.

Jadi bagi kami realistiknya jika dapat melepasi peringkat kumpulan buat pertama kali ia akan menjadi satu pencapaian yang baik untuk kami.

Bagaimanapun sudah tentunya kami akan cuba pergi dengan lebih jauh lagi sekiranya kami berjaya melepasi peringkat kumpulan,”

katanya.

Johan berkata demikian selepas tamat Majlis Undian AFC Champions League Two yang berlangsung di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Undian tersebut menyaksikan Selangor telah diundi dalam Kumpulan H bersama bersama Jeonbuk Hyundai Motors (Korea Selatan), Muangthong United (Thailand) dan Dynamic Herb Cebu FC (Filipina).

Dalam pada itu, Johan turut memberitahu bahawa mereka sudah pun menandatangani tonggak pemain baharu iaitu Ali Olwen untuk memperkuatkan pasukan terutamanya di bahagian jentera serangan.

“Seperti semua sedia maklum kita sudah menandatangani Ali Olwan penyerang yang kami rasa beliau berada pada tahap terbaik dan bermain di peringkat tertinggi Asia, oleh sebab itu kami yakin beliau mampu membantu kami.”

Ali Olwan merupakan salah seorang tonggak utama pasukan kebangsaan Jordan dalam kempen Piala Asia 2023 di Doha, Qatar pada Januari lalu yang menyaksikan negara tersebut muncul sebagai naib juara.

Sementara itu, Johan berkata biarpun musim ini fokus mereka kepada saingan ACL 2 tetapi mereka juga akan fokus terhadap saingan liga domestik Liga Super.

“Saya rasa semuanya penting kerana bagi saya saingan liga domestik juga sama penting dengan ACL 2 kerana jika kita tidak beraksi dengan baik dalam saingan liga domestik kita tidak akan layak ke ACL musim depan.

Jadi bagi kelab Selangor kita perlu buat yang terbaik dalam setiap pertandingan tidak kira domestik atau antarabangsa.”