Aksi menentang JDT bukan mudah tapi ini peluang untuk balas dendam, KPG tau ramai pemain Malaysia – Soo Hong-kim

39

Pengurus Pasukan Ulsan Hyundai FC, Soo Hong-kim berkata perlawanan menentang pasukan daripada Malaysia iaitu Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam saingan AFC Champions League Elite (ACLE) nanti akan memberi mereka peluang untuk balas dendam.

Menurut Hong-kim, biarpun bakal berdepan cabaran besar berikutan perlu bermain di tempat lawan tetapi beliau yakin dengan kemampuan pasukannya terutamanya apabila skuad itu kini dikendalikan oleh Kim Pan-gon yang merupakan bekas ketua jurulatih pasukan kebangsaan Malaysia.


“Kita dapat lihat undian telah menyaksikan kita akan bertemu dengan JDT di tempat mereka. Ia bukan mudah tapi untuk kali ini kita berpeluang untuk balas dendam pada perlawanan musim lalu.

Ketua jurulatih Kim Pan-gon tahu ramai pemain-pemain daripada Malaysia jadi saya yakin beliau tahu percaturan yang akan dilakukannya untuk perlawanan itu nanti,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Hong-kim berkata demikian selepas tamat Majlis Undian AFC Champions League Elite (ACLE) yang berlangsung di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Saingan ACLE Zon Timur akan menyaksikan setiap pasukan akan bermain sebanyak lapan perlawanan iaitu empat perlawanan ‘home’ dan empat perlawanan ‘away’.

Perlawanan di antara Ulsan dan JDT akan berlangsung pada 5 November di Stadium Sultan Ibrahim (SSI).

Dalam pada itu, Hong-kim berkata sasaran pasukan untuk kempen ACLE musim ini adalah untuk cuba memenanginya.

“Sasaran kelab sentiasa untuk cuba menang kejuaraan terutamanya dengan format baharu ini dan berjaya menang kejuaraan ini akan beri pengalaman dan memori yang indah buat kami, jadi kami sasar untuk jadi juara.”