Sedar bukan mudah menentang KL City FC tapi kami akan cuba bawa pulang 3 mata – Yu Hoshide
Ketua jurulatih pasukan Kaya FC Iloilo, Yu Hoshide mengakui bakal berdepan cabaran besar apabila menentang KL City FC esok dalam aksi pertama kumpulan Shopee Cup 2024 (ASEAN Club Championship).
Menurut Hoshide, biarpun bermain di tempat lawan iaitu di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur namun mereka akan memberikan saingan sengit untuk cuba membawa pulang tiga mata penuh.
“Sudah tentu kami jangkakan akan berdepan cabaran sukar kerana KL City bermain di liga lebih tinggi daripada kami tapi kami akan buat yang terbaik esok.
Kami akan berpuas hati sekiranya dapat bawa pulang satu mata tapi kami akan cuba juga untuk bawa pulang tiga mata,”
katanya.
Untuk memastikan sasaran mereka untuk mendapat keputusan positif esok, Hoshide berkata beliau telah membawa skuad terbaiknya untuk perlawanan esok.
Dalam pada itu, Hoshide mengakui pasukan lawan tidak hanya mempunyai kelebihan dari segi fizikal tetapi juga mempunyai pengalaman luas di peringkat antarabangsa.
“Perlawanan esok memang sukar buat kami kerana pasukan lawan bukan sahaja mempunyai kelebihan dari segi fizikal tetapi juga mempunyai pengalaman permainan tetapi saya yakin kami mampu mengatasinya.”
Sementara itu, Kaya FC telah diundi dalam Kumpulan B bersama KL City, Buriram United, Cong An Hanoi, Borneo dan Lion City Sailors.
Dua pasukan teratas dari Kumpulan A dan Kumpulan B akan mara ke peringkat kalah mati.