Bila sudah tiba masa Faisal Halim pasti akan kembali sarung jersi Harimau Malaya – Pau Marti

35

Ketua jurulatih pasukan kebangsaan, Pau Marti Vicente gembira melihat perkembangan terkini pemain sensasi Faisal Halim yang semakin pulih dan sudah pun kembali bermain bola sepak bersama kelabnya Selangor FC.

Menurut Pau Marti, beliau sendiri sering berhubung dengan Faisal sendiri untuk bertanya mengenai perkembangan pemain itu dari semasa ke semasa dan berkata mahu beri ruang dan masa kepada pemain itu untuk pulih sepenuhnya sebelum kembali menyarung jersi Harimau Malaya.


“Pertama sekali saya sangat gembira dapat melihat beliau kembali bermain dan beliau telah memperlihatkan kekuatan dan karakter yang boleh menjadi pengajaran buat kita semua.

Saya juga sering berhubung dengan beliau dan bagi saya ketika ini beliau perlu fokus untuk proses pemulihan tahap kecergasan, bola sepaknya dan mendapat minit permainan bersama kelabnya jadi kita perlu berikan masa untuk beliau.

Apabila sudah tiba masanya nanti sudah pastinya kita akan cari momen terbaik untuk kembali bersama kita,”

katanya.

Pau Marti berkata demikian ketika sidang media pengumuman senarai nama 26 pemain yang dipanggil untuk ke kem latihan pusat skuad Harimau Malaya bermula 29 Ogos bagi membuat persiapan untuk Pestabola Merdeka 2024 Edisi ke-43 yang akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) dari 4 hingga 8 September 2024.

Dalam pada itu, Pau Marti memberitahu bahawa pemain-pemain yang dipanggil kali ini adalah gabungan pemain muda dan pemain berpengalaman.

“Seperti yang saya katakana sebelum ini saya tidak akan mengulas mengenai seseorang pemain sebaliknya bagi saya kita perlu ada gabungan bagus di antara pemain muda dan pemain berpengalaman.

Pemain-pemain muda ketika ini juga sudah mula bermain di Liga Super oleh itu sudah tiba masanya untuk mereka merasai pengalaman bersama pasukan kebangsaan dan biasakan diri dengan perlawanan antarabangsa dengan harapan satu hari nanti mereka akan jadi tonggak utama.”

Sementara itu, untuk saingan Pestabola Merdeka 2024 skuad negara akan turun beraksi untuk perlawanan pertama iaitu separuh akhir menentang Filipina pada Rabu, 4 September 2024, jam 9.00 malam. Satu lagi perlawanan separuh akhir menemukan Lubnan dan Tajikistan pada hari yang sama, jam 4.30 petang.

Perlawanan akhir akan berlangsung pada Ahad, 8 September pada jam 9.00 malam manakala dua pasukan yang tewas pada separuh akhir akan bertemu untuk perlawanan Penentuan Tempat Ketiga pada hari sama, jam 4.30 petang.