Saya sedar tentang isu boikot! Apa yang kami boleh buat adalah berikan aksi terbaik kepada peminat – Pau Marti
Ketua jurulatih pasukan kebangsaan, Pau Marti Vicente memberitahu beliau sedar dengan isu yang sedang berlegar ketika ini mengenai keputusan tulang belakang pasukan kebangsaan iaitu Ultras Malaya (UM) yang mengambil keputusan untuk memboikot kejohanan Pestabola Merdeka 2024 Edisi ke-43 nanti.
Menurut Pau Marti, apa yang beliau dan pasukan boleh buat adalah untuk berikan aksi terbaik kepada peminat yang hadir.
“Ya saya sedar dengan isu ini, tapi dari pihak kami sudah tentu kami mahu semua orang datang kerana kita mempunyai stadium yang besar dan boleh berikan atmosfera luar biasa jadi kita kalau boleh mahu ‘full house’ untuk setiap perlawanan.
Saya tidak rasa pasukan kebangsaan main banyak perlawanan dalam setahun jadi setiap kali kita main kita mahu ramai peminat sebanyak mungkin.
Apa pun bagi pihak barisan kejurulatihan dan pemain apa yang kami boleh buat adalah untuk berlatih dengan lebih keras dan buat persediaan rapi dan memberikan persembahan terbaik untuk peminat yang hadir,”
katanya.
Pau Marti juga berkata sekiranya skuad negara dapat memberikan persembahan terbaik dengan keputusan yang positif, beliau yakin peminat akan kembali membanjiri stadium.
Beliau berkata demikian ketika sidang media pengumuman senarai nama 26 pemain yang dipanggil untuk ke kem latihan pusat skuad Harimau Malaya bermula 29 Ogos bagi membuat persiapan untuk Pestabola Merdeka 2024 Edisi ke-43 yang akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) dari 4 hingga 8 September 2024.
Dalam pada itu, Pau Marti turut memberitahu bahawa tiada perubahan dari segi taktikal permainan selepas beliau mengambil alih tugas daripada Kim Pan-gon kerana skuad negara sudah mempunyai sistem permainan tersendiri.
“Saya sudah bersama pasukan ini dua tahun setengah jadi kita sudah ada sistem dan kesemua barisan kejurulatihan adalah sama.”
Skuad Harimau Malaya akan membuka tirai kempen Pestabola Merdeka 2024 pada 4 September menentang Filipina pada jam 9.00 malam, manakala satu lagi perlawanan menemukan Lubnan dan Tajikistan pada hari sama, jam 4.30 petang.
Perlawanan akhir akan berlangsung pada Ahad, 8 September pada jam 9.00 malam manakala dua pasukan yang tewas pada separuh akhir akan bertemu untuk perlawanan Penentuan Tempat Ketiga pada hari sama, jam 4.30 petang.