Semangat juang tinggi dan tak mudah putus asa jadi faktor kemenangan kami – Dani Kouch
Pemain pasukan Svay Rieng FC, Dani Kouch memberitahu semangat juang tinggi pemain dan tidak mudah putus asa sepanjang perlawanan berlangsung menjadi faktor utama mereka berjaya memperolehi kemenangan 3-2 ke atas Terengganu FC.
“Saya sangat gembira dengan prestasi pasukan saya malam ini kerana kami tidak pernah putus asa dan sentiasa memberikan yang terbaik sehingga tamat perlawanan.
Bukan sahaja kami bertahan dengan baik kerana jika kami mendapat bola kami akan bermain bola sepak dengan mengawal permainan dan cuba mengatur serangan untuk menjaringkan gol,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Dani berkata demikian selepas tamat perlawanan pertama Shopee Cup 2024 (ASEAN Club Championship) yang berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA).
Dalam pada itu, Dani turut gembira dengan penggunaan teknologi VAR (video assistant referee) apabila insiden yang mana bola didakwa terkena tangannya.
“Saya gembira ada VAR dan pengadil buat keputusan yang bijak kerana bola terkena pada siku dan ketika itu tangan saya dekat dengan badan jadi ia memang bukan penalti.”
Sementara itu, Dani juga berkata antara aspek yang perlu mereka perbaiki adalah untuk mengawal emosi dan lebih tenang apabila mendapat bola.