Bila kita bertahan dengan teruk dan bolos tiga gol kita tak boleh harap apa-apa selain kekalahan – Tomislav Steinbruckner

44

Ketua jurulatih Terengganu FC, Tomislav Steinbruckner kecewa dengan persembahan pasukannya selepas mereka tewas 3-2 kepada Svay Rieng FC pada perlawanan pertama Shopee Cup 2024 (ASEAN Club Championship) yang berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) semalam.

Menurut Steinbruckner, pasukannya tidak bermain dengan baik pada separuh masa pertama membuatkannya terpaksa membuat pertukaran di separuh masa kedua yang mana mereka bermain dengan lebih baik.


“Bila kita bolos tiga gol hari ini dan mereka mempunyai lima ke enam peluang terbaik bermakna kita tidak bermain dengan baik terutamanya dua pemain dibahagian pertahanan tengah yang bergelut pada separuh masa pertama.

Saya boleh buat pertukaran untuk kedua-dua mereka iaitu Safwan Mazlan dan Shahrul Nizam tapi disebabkan kita juga perlu bermain secara menyerang oleh sebab itu saya keluarkan Shahrul Nizam kerana pemain itu membuat banyak kesilapan dan tampak tidak baik.

Bila kita bertahan dengan teruk dan bolos tiga gol kita tidak boleh harap apa-apa selain kekalahan. Untuk separuh masa kedua saya berpuas hati kerana kita bermain dengan baik dan berjaya menjaringkan dua gol,”

katanya.

Steinbruckner juga berkata beliau sudah menjangkakan perlawanan akan menjadi sukar dan mencabar kerana pasukan lawan sebuah pasukan yang cukup bagus.

Dalam pada itu, Steinbruckner turut mengulas mengenai desakan peminat Sang Penyu yang sudah mula bersuara mahu beliau dipecat.

“Sebagai ketua jurulatih saya sentiasa akan buat yang terbaik. CEO dan pihak pengurusan ada dan mereka boleh panggil saya bila-bila masa sahaja untuk berbincang mengenai perkara itu (pecat).

Setiap jurulatih di dunia sememangnya sentiasa bersedia jika khidmat tidak diperlukan lagi.”