Aekasit Naphom, pengubah nasib Penang Black Panthers?
Kehadiran perejam berusia 28 tahun dari Thailand, Aekasit Naphom dijangka memberikan nafas baru kepada skuad muda Penang Black Panthers kendalian Mohd Fazil Mohd Asri yang kini bergelut untuk mencari kedudukan terbaik menjelang aksi minggu ke-6.
Perejam Thailand itu sebelum ini mencetus sensasi apabila membantu skuad Penang Black Panthers meraih kejuaraan berganda Sepak Takraw League (STL) 2018 dan STL Champions Cup menewaskan ATM Guardians.
Skuad Penang Black Panthers telah mencatatkan 6 rekod kemenangan dan 6 rekod kekalahan dalam liga dan berada pada kedudukan ke-5 terikat 12 mata dengan NS Antlers yang berada di tangga ke-4.
Kepincangan skuad Penang Black Panthers nyata jelas terserlah apabila ketua pasukan, Zaim Razali yang beraksi sebagai apit kiri terpaksa mengambil alih tugas perejam utama dalam perlawanan minggu ke-5 menentang Perak Bison yang menyaksikan mereka tumpas 17-21, 21-11, 18-21. Beliau menampilkan aksi memukau biarpun terpaksa menelan hakikat tumpas di tangan lawan.
Aekasit yang sebelum ini diberitakan tidak mendapat pelepasan daripada Persatuan Sepak Takraw Thailand (TAT) untuk beraksi dalam STL 2021/2022 akibat daripada pergolakan yang berlaku di antara Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) dan Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF).
Beliau telah tiba di ibu negara dan sedang menjalani kuarantin sebelum bergabung dengan rakan sepasukan yang lain.
Dengan kehadiran Aekasit, sedikit sebanyak dapat memberi tunjuk ajar kepada dua lagi perejam, Danial Baharin dan Haikal Jamil yang turut bersama-sama menguatkan pasukan.
Sama-sama kita nantikan, adakah Aekasit Naphom dapat mengubah nasib Penang Black Panthers?