Hannah Yeoh harap cuaca baik pada perlawanan akhir Piala FA di SNBJ
Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh berharap cuaca akan baik pada hari perlawanan akhir Piala FA 2024 diantara Selangor FC dan Johor Darul Ta’zim (JDT) yang akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) pada Sabtu ini.
“Saya berharap cuaca bagus, tak hujan semasa final Piala FA dan saya juga berharap perlawanan akan berjalan dengan lancar dan kesemua peminat yang hadir ke stadium akan menunjukkan semangat kesukanan yang tinggi,”
katanya.
Hannah bagaimanapun berkata beliau tidak dapat untuk turun ke SNBJ kerana akan menghadiri majlis penutup SUKMA Sarawak 2024, namun berkata perlawanan tersebut akan dihadiri oleh Timbalan Menteri-nya Adam Adli.
Dalam pada itu, Hannah juga gembira melihat sambutan orang ramai terhadap temasya SUKMA pada tahun ini yang dilihat cukup memberangsangkan berbanding SUKMA edisi sebelum ini.
“Esok adalah hari terakhir SUKMA dan kami sangat teruja dengan temasya kali ini kerana mendapat sambutan yang cukup memberangsangkan terutamanya siaran langsung dalam talian.
Perkara itu dimaklum sendiri oleh TV Sarawak yang berkata bukan sahaja jumlah tontonan tinggi tetapi juga orang ramai turut membincangkan mengenai temasya ini di media sosial kerana mereka membandingkan temasya Sukan Olimpik Paris.
Temasya Olimpik baru sahaja habis kan, jadi peminat masih lagi teruja sehingga mereka membandingkan terjunan daripada atlet terjun Elvis Priestley dengan atlet negara di Olimpik baru-baru ini.”
Hannah berkata demikian ketika hadir pada majlis penyerahan kenderaan kepada pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2024 di Chery Bandar Bukit Puchong, Selangor semalam.