Dulu gah sekarang menanti masa untuk tumbang!

254

Reputasi pasukan Perak sebagai satu-satunya pasukan yang tidak pernah tersingkir ke saingan liga bawahan terkubur apabila pasukan ini terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada saingan Liga Super 2022 apabila menduduki tangga ke-11 pada musim lalu.

Sejarah pasukan ini cukup gah jika dilihat daripada sejarah. Skuad yang dikenali sebagai Seladang suatu masa dulu menjadi pasukan ketiga yang paling berjaya dalam pertandingan Piala Malaysia dengan rekod 8 kali kejuaraan.


Rentetan kemelut yang berlaku sejak awal musim seolah-olah menandakan bahawa ada sesuatu yang tidak kena. Pengunduran Mehmet Durakovic daripada mengendalikan skuad pada bulan Februari 2021 sebelum liga bermula menjadi permulaan kepada episod duka buat peminat-peminat bola sepak di negeri Perak khususnya.

Tidak cukup dengan itu, prestasi terumbang-ambing pasukan dalam Liga Super menambahkan luka kepada peminat. Kekalahan demi kekalahan seolah-olah menyentap semangat para pemain biarpun kejayaan menjulang Piala Malaysia pada 2018 dan naib juara Piala FA 2019 masih segar di ingatan.

Tunggakan gaji dikatakan menjadi punca utama mengapa skuad Perak ini mempamerkan aksi yang cukup buruk sepanjang liga. Penghijrahan pemain-pemain utama seperti Shahrul Saad, Guilherme de Paula, Shakir Hamzah, Careca, Leandro dos Santos juga dilihat sebagai satu tindakan protes disebabkan kegagalan pihak pengurusan melunaskan hutang kepada pemain.

Kemelut dalaman Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) yang melibatkan ahli gabungan PAFA yang menolak pelantikan Datuk Muhammad Yadzan bin Mohammad dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan pada 13 Februari 2022.

Ketiga-tiga ahli gabungan yang terdiri daripada PB Daerah Hilir Perak, PB Daerah Bagan Datuk dan PB Daerah Pengkalan Hulu menyatakan mereka tidak pernah menyatakan sokongan kepada pelantikan tersebut.

Dan yang terbaru, Perak FC dikhuatiri tidak dapat mendaftar para pemain untuk saingan musim 2022 disebabkan oleh kegagalan melunaskan tunggakan gaji yang bernilai sehingga RM 1.7 juta. Hal ini sudah pasti mengganggu persiapan pasukan Perak FC untuk saingan liga yang akan datang.

Sebenarnya, cerita kurang enak ini bukanlah kali pertama berlaku dalam kancah bola sepak Malaysia. Seolah-olah mengulangi kisah duka pasukan Perlis sedikit masa lalu yang sehingga kini terus lenyap daripada peta bola sepak Malaysia.

Tidak mustahil Perak FC juga akan turut mengalami nasib yang sama. Perlis juga dulu gah mencipta nama sebagai salah satu gergasi bola sepak Malaysia. Namun, entah di mana silapnya, penyingkiran daripada Liga Super, Liga Premier dan seterusnya Liga FAM menjadi isyarat buruk buat pasukan Singa Utara.

Nama-nama besar juga sempat dibawa masuk. Sebut sahajalah siapa, Safee Sali? Badhri Radzi? Shahril Saa’ri? Khyril Muhymeen? Ya, mereka ini pernah menyarung jersi kuning biru keramat Singa Utara.

Sehingga kini tidak dapat dipastikan apakah nasib yang akan menimpa Perak FC. Terkubur bersama sejarah-sejarah indah ataupun bakal bangkit kembali dengan gah?