Giancarlo Gallifuoco yakin KL City FC mampu cipta kejutan di Shopee Cup 2024

48

Pemain import KL City FC, Giancarlo Gallifuoco menyuarakan keyakinan terhadap kemampuan pasukannya untuk mencipta kejutan pada kejohanan Shopee Cup 2024 (ASEAN Club Championship) tahun ini.

“Saya suka dengan kejohanan seperti ini jadi saya bersikap optimis dengan peluang pasukan dan mungkin kita mampu buat kejutan seperti di Piala AFC sebelum ini kerana kita sangat bernasib baik dalam kejohanan seperti ini apabila kita berjaya mara ke tiga perlawanan akhir dalam tempoh tiga tahun.

Bagaimanapun kita perlu fokus dari satu perlawanan ke satu perlawanan terlebih dahulu kerana ia bukan tugas mudah kerana hanya dua pasukan teratas sahaja akan mara ke peringkat seterusnya,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Giancarlo Gallifuoco atau lebih mesra dengan panggilan GG berkata demikian selepas tamat perlawanan pertama kumpulan yang menyaksikan KL City berjaya menewaskan Kaya FC Iloilo 1-0 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur.


Dalam pada itu, GG berkata kemenangan semalam sesuatu yang cukup positif selepas mereka mengalami dua kekalahan dalam saingan Liga Super.

“Ya betul memang kita kalah dua perlawanan terdahulu tetapi berdasarkan tujuh perlawanan terakhir kami berjaya mengekalkan rekod tanpa bolos dalam lima perlawanan.”

Sementara itu, GG turut mengakui pemotongan enam mata dek masalah kewangan yang dihadapi KL City sedikit sebanyak menjejaskan pasukan tetapi mereka sudah kembali bangkit.