Banyak kami lalui tahun ini tapi dalam Selangor FC kita semua satu keluarga – Safuwan Baharudin
Ketua pasukan Selangor FC, Safuwan Baharudin berkata beliau cukup gembira apabila berjaya membantu pasukan mara ke perlawanan Piala FA 2024 dan ia merupakan pencapaian terbaiknya bersama kelab itu.
Menurut Safuwan, biarpun tahun ini merupakan tahun yang cukup mencabar buat pasukan dengan pelbagai dugaan tetapi mereka berjaya mengatasinya.
“Banyak yang telah kami lalui terutamanya pada tahun ini tapi jika anda melihat ia bukan mengenai pemain dan jurulatih sahaja tetapi ia mengenai staf di belakang tadbir dan kami di Selangor adalah satu keluarga.
Jadi apa sahaja yang pemain dan jurulatih terpaksa harungi, seluruh pasukan akan turut merasainya jadi itu adalah satu motivasi buat kami dapat mengharungi setiap insiden yang berlaku kepada kami,”
katanya.
Tambahnya lagi, mereka akan turun beraksi esok dengan pemikiran yang positif dan akan memberikan yang terbaik sepanjang tempoh perlawanan.
Dalam pada itu, Safuwan juga berkata esok akan menjadi perlawanan yang paling ditunggu-tunggu ramai kerana ia melibatkan dua pasukan gergasi di Malaysia.
“Bagi mereka yang hadir ke stadium dan menonton di rumah esok mahu menyaksikan satu perlawanan yang cantik dan insyaAllah esok dua pasukan gergasi Malaysia akan berjuang habis-habisan.
Pada pandangan saya esok akan menjadi perlawanan yang cukup menarik.”
Perlawanan akhir Piala FA 2024 esok diantara Selangor dan JDT akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).