STL: Medan pemain intai peluang ke skuad kebangsaan

318

Saingan Sepak Takraw League (STL) 2021/2022 yang kini memasuki minggu ke-6 menjadi platform terbaik buat pengendali skuad sepak takraw kebangsaan, Abdul Talib Ahmad dalam mencari pemain-pemain terbaik untuk dua kejohanan besar yang bakal berlangsung pada tahun ini.

Temasya besar Sukan Sea 2022 di Hanoi, Vietnam dan Sukan Asia 2022 di Hangzhou, China menjadi sasaran utama skuad sepak takraw kebangsaan untuk terus menampilkan aksi terbaik.


Dan penglibatan pemain-pemain dalam saingan STL pada kali ini memberikan banyak pilihan kepada pihak kejurulatihan dalam menentukan siapa yang layak untuk mengisi slot pemain ke temasya tersebut.

Dua tekong berpengalaman, Syahir Rosdi daripada KL Thunder dan Zulkifli Abd Razak yang mewakili Kelantan Warriors dijangka akan terus menjadi sandaran utama skuad kebangsaan biarpun kedua-dua mereka pernah dipalit isu disiplin sedikit masa dulu. Kualiti yang ada pada kedua-dua pemain ini sememangnya ditagih oleh pihak kejurulatihan skuad sepak takraw negara.

Dua pasukan ditangga teratas liga, ATM Guardians dan KL Thunder sememangnya diketahui mempunyai pemain-pemain yang sudah lama beraksi bersama skuad kebangsaan. Manakala pendatang baru Putrajaya Cyborg juga mempunyai pemain-pemain yang berkualiti yang boleh menempatkan diri dalam skuad utama kebangsaan.

Selain itu, pemain-pemain muda berbakat yang boleh diketengahkan dalam mencari pengalaman berharga bersama skuad kebangsaan. Sebagai contoh, pasukan Penang Black Panthers yang majoritinya terdiri daripada pemain-pemain di bawah usia 23 tahun.

Tekong utama skuad dari utara itu, Zarif Merican pernah juga memperagakan aksi bersama skuad utama biarpun baru sahaja berusia 20 tahun.

Apit kiri Penang Black Phanters, Zulhusni Basri yang juga baru berusia 20 tahun turut mempamerkan aksi yang memberangsangkan sepanjang liga berlangsung. Beliau boleh menjadi antara nama baru yang boleh mencabar tempat apit kiri utama skuad kebangsaan, Farhan Adam yang beraksi bersama Selangor Pistons.

Cuma yang menjadi kegusaran adalah isu dalaman yang melibatkan Persatuan Sepaktakraw Malaysia dan Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF) yang dikhuatiri boleh menjejaskan tumpuan para pemain daripada segi persiapan untuk ke temasya tersebut. Penubuhan Konfederasi Sepak Takraw Malaysia (MSC) sebagai badan induk berdaftar yang mendapat kelulusan daripada Pejabat Pesuruhjaya Sukan seolah memberi petanda bahawa PSM akan terkubur.

Sehingga sekarang tidak dapat dipastikan lagi halatuju badan induk berdaftar sukan sepak takraw negara memandangkan PSM sudahpun disingkirkan daripada menjadi ahli  gabungan ASTAF. Malah, masa depan dan kebajikan skuad negara juga masih lagi menjadi tanda tanya.

Selepas kecewa pada temasya Sukan Sea 2019 yang lalu, skuad sepak takraw negara mempunyai misi merampas pingat emas setelah tumpas kepada Thailand dalam acara antara regu dan berpasukan selain misi mempertahankan pingat emas antara regu yang dimenangi semasa Sukan Asia Palembang 2018.