Kerteh FC tawar peluang kepada pemainnya ke UE Sant Andreu di Sepanyol

406

Tidak dapat dinafikan kelab bola sepak Kerteh FC sememangnya sebuah kelab yang kecil sekiranya hendak dibandingkan dengan kelab-kelab lain yang bersaing di Liga M3, namun ia tidak menghalang rancangan pembangunan akar umbi mereka.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kerteh FC iaitu Syed Khairi Amier Bin Syed Radzuan, mereka sudah pun melantik Penasihat Teknikal, Oscar Riera yang merupakan pengarah kepada RieraSport yang berpengkalan di Sepanyol.


Kerteh juga telah menjalin kerjasama dengan kelab UE Sant Andrue yang bermain di Tercera División RFEF di Sepanyol.

“Menerusi kerjasama dengan kelab Sant Andrue ini, pemain-pemain kami akan mempunyai peluang untuk melebarkan sayap bola sepak mereka di Sepanyol.

Kami akan melihat potensi seseorang pemain itu terlebih dahulu. Sekiranya dia sememangnya seorang pemain yang berkualiti, barisan kejurulatihan teknikal dari Kerteh akan menilai terlebih dahulu kemampuan pemain itu sebelum dihantar ke sana,”

katanya kepada Harimau Malaya.
Sumber foto: Kerteh FC IG

Tuan Syed berkata apa yang membuatkan mereka memilih kelab Sant Andrue berbanding kelab lain adalah kerana mereka sudah bertapak dalam dunia bola sepak lebih 100 tahun.

Selain itu, pemilihan kelab itu dibuat agar pemain-pemain Kerteh yang dihantar ke sana tidak berdepan jurang yang besar.

“Kami pilih kelab ini kerana apabila kita hantar pemain ke sana, jurang pemain di situ dan pemain kita tidak terlalu jauh ketinggalan sekaligus ia akan memberi peluang untuk pemain kita beraksi dengan lebih baik.”

Dalam pada itu, bercerita lanjut mengenai penubuhan Kerteh FC atau lebih dikenali dengan nama jolokan The Oilers, kelab ini ditubuhkan pada tahun 2018 dan bertanding dalam perlawanan kompetitif mereka di Liga Amatur Terengganu (TAL).

The Oilers telah mencipta kejutan apabila berjaya memenangi kejuaraan liga dan piala pada 2019 sekaligus menjadi pasukan divisyen empat pertama di Terengganu yang melakukan double dan layak ke Piala FA Malaysia 2020.

Bagaimanapun ketika membuat penampilan pertama mereka di Piala FA, mereka tumpas 0-2 di tangan Northern Lions FC.

Sementara itu, memandangkan musim ini tiada saingan Liga M4 berlangsung, maka mereka kini sedang menunggu perkembangan daripada negeri samada saingan Liga M5 akan berlangsung atau tidak.

Saingan Liga M5 dijangka akan berlangsung pada bulan Ogos depan yang mana empat pasukan teratas akan layak ke saingan Liga M4 pada musim hadapan.