Bhg 2: Cadangan penstrukturan sistem bola sepak Liga Malaysia

501

Pada artikel bahagian pertama, Harimau Malaya telah berkongsi cadangan yang dikemukan oleh seorang peminat bola sepak tanah air iaitu Muhammad Syafiq.

Dalam artikel terdahulu, Syafiq dalam ‘kertas kerja’-nya memberi cadangan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Malaysian Football League (MFL) untuk membuat penstrukturan semula sistem liga bola sepak Malaysia.


Jika dalam bahagian pertama Syafiq menyentuh penstrukturan sistem untuk saingan liga utama, untuk bahagian kedua ini beliau akan menyentuh pula mengenai penstrukturan liga feeder dan pembangunan bola sepak.

Ketika ini dalam saingan Liga Malaysia hanya empat pasukan sahaja yang mempunyai kelab feeder ini iaitu Johor Darul Ta’zim, Terengganu FC II, Perak FC II dan Selangor II yang mana kesemua mereka beraksi dalam saingan Liga Perdana.

Bagaimanapun pada musim 2022 berbeza sedikit apabila pasukan Perak FC II terpaksa turun pangkat selepas si ‘abang’ tersingkir dari Liga Super.

Pada masa sama ia hanya memberi kelebihan kepada pasukan yang mempunyai kelab feeder sahaja kerana mereka dapat membuat penukaran pemain pada bila-bila masa sahaja sekiranya pemain di skuad utama cedera atau tiada.

Jadi jika benar-benar ingin wujudkan kelab feeder dalam saingan Liga Malaysia, MFL sepatutnya wujudkan satu Liga Feeder yang mana setiap kelab diwajibkan mempunyai kelab feeder.

Selain itu, pembangunan bola sepak juga perlu diutamakan kerana ketika hanya ada Piala Presiden dan Piala Belia sahaja yang dilihat mempunyai skop pembangunan yang kecil serta menyeluruh dan tidak berdaya.

Ini kerana kedua-dua saingan pial aitu tidak mempunyai kategori yang khusus mengikut umur, oleh itu Liga Pembangunan perlu diwujudkan dengan kompetitif seperti saingan peringkat liga senior supaya pemain mendapat pengalaman bermain di tahap lebih tinggi seawal bawah 12 tahun.

Dengan adanya Liga Pembangunan ini tiada lagi alasan untuk pemain dikatakan tidak cukup pengalaman.

Memandangkan pasukan di Liga Malaysia ketika ini sudah beralih ke fasa penswastaan, maka tiada lagi kelab negeri, oleh itu beliau mencadangkan agar satu pertandingan antara pasukan negeri dianjurkan secara dwi tahunan iaitu Piala Nasional FAM.

Pertandingan ini akan menggunakan konsep seperti Piala Dunia yang mana setiap pemain akan mewakili negeri masing-masing.

Selain untuk senior, ia juga membabitkan pasukan remaja dari bawah 12 tahun hingga 21 tahun.

Secara kesimpulannya ia satu cadangan yang cukup lengkap untuk membawa liga tempatan ke arah bola sepak bertaraf dunia tetapi FAM dan MFL perlu melakukan banyak kerja sebelum ia dapat dilaksanakan.

Adakah kedua-dua badan induk akan mengambil maklum mengenai cadangan ini? Hanya mereka sahaja yang tahu. Bagaimanapun peminat berharap kedua-dua pihak itu sekurang-kurangnya melihat dan mempertimbangkan cadangan yang disuarakan.

Mungkin ia tidak boleh dilaksanakan semua pada 2024, tetapi ia bukan dijalankan secara berperingkat.

Majulah sukan untuk negara!