Duo import Sabah FA, Eri Narita & Misaki Nakayama janji akan beri aksi lebih baik di AWCL
Pasukan bola sepak wanita Sabah FA telah mencipta sejarah apabila berjaya melayakkan diri ke peringkat kumpulan kejohanan berprestij AFC Women’s Champions League (AWCL) selepas berjaya menjadi juara kumpulan pusingan kelayakan.
Kejayaan itu berjaya dicapai selepas Sabah berjaya menang dalam perlawanan terakhir menentang PFC Nasaf dari Uzbekistan dengan keputusan 2-1.
Dua pemain import daripada Jepun iaitu Eri Narita dan Misaki Nakayama menjadi antara tonggak utama dalam kejayaan itu dan kedua-dua mereka berjanji akan memberikan persembahan yang lebih baik apabila beraksi di peringkat kumpulan AWCL nanti.
“Saya bersyukur kerana kita berjaya menang tapi saya secara peribadi tidak berpuas hati dengan persembahan saya tapi saya berjanji akan mempamerkan aksi yang lebih baik pada peringkat kumpulan nanti.
Terima kasih kepada semua yang menyokong,”
kata Misaki Nakayama kepada Harimau Malaya.
Eri Narita juga turut bersyukur dan berterima kasih dengan sokongan padu yang diberikan oleh penyokong di Malaysia.
“Pemain dan penyokong di Malaysia sangat baik! Saya cukup gembira berada di sini,”
ujarnya.
Sabah yang menjadi tuan rumah untuk aksi Kumpulan C menyaksikan mereka membuka tirai saingan dengan seri tanpa jaringan ketika menentang kelab daripada Nepal iaitu APF.
Dengan rekod satu kemangan dan satu seri menyaksikan pasukan dari Malaysia itu berjaya melangkah ke peringkat kumpulan AWCL dengan kelebihan satu mata.