Walaupun saya datang sekejap tapi ‘vibe’ Sabah FA cukup seronok – Steffi Sidhu
Ketua pasukan Sabah FA, Steffi Sidhu mengakui biarpun penampilannya bersama pasukan itu hanya untuk tempoh yang singkat, namun beliau berasa cukup gembira dapat menyarung jersi pasukan itu untuk pusingan kelayakan AFC Women’s Champions League (AWCL).
“Saya akan rindu dia punyai ‘vibe’. Walaupun saya datang sekejap tapi saya berasa cukup seronok dengan semua orang.
Sebelum ini saya pernah bermain dengan beberapa pemain dari pasukan ini dan mereka juga menghormati saya orang luar dan sebagai ketua pasukan pasukan jadi saya rasa ‘vibe’ itu sangat bagus kerana tiada sikap iri hati sebaliknya semuanya bersatu sebagai satu unit,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Steffi berkata demikian selepas beliau membantu pasukan Sabah layak ke peringkat kumpulan kejohanan AWCL.
Kejayaan itu dicapai selepas mereka berjaya menewaskan pasukan dari Uzbekistan iaitu PFC Nasaf dengan keputusan 2-1 sekaligus berjaya menjadi juara Kumpulan C pusingan kelayakan yang berlangsung di Stadium Likas.
Dalam pada itu, bercerita lanjut mengenai kemenangan ke atas PFC Nasaf, Steffi berkata di atas kertas semenangnya pasukan lawan mempunyai kelebihan tetapi mereka berjaya membuktikan sebaliknya.
“Memang tak jangka langsung kerana kita adalah pasukan ‘underdog’ kalau nak bandingkan dengan dua pasukan lain iaitu PFC Nasaf dan APF.
Di atas kertas PFC Nasaf sepatutnya akan menang pada perlawanan ini malangnya kita berjaya buktikan mereka salah dan kami berjaya buat mereka menangis dengan kemenangan 2-1. Walaupun hanya 2-1 tetapi ia tetapi kemenangan.”
Sementara itu, Steffi juga menangis kegembiraan dengan kejayaan pasukan itu berjaya mencipta sejarah layak ke peringkat kumpulan ACWL yang akan membuka tirainya dari 6 hingga 12 Oktober 2024.