Bola sepak untuk penyokong, kita tak boleh kawal penyokong mahu boikot tapi kita perlu beri aksi terbaik – Syamer Kutty Abba
Pemain tengah pasukan kebangsaan, Syamer Kutty Abba menghormati keputusan daripada penyokong tegar Harimau Malaya iaitu Ultras Malaya (UM) dan penyokong lain yang mengambil pendirian untuk memboikot kejohanan Pestabola Merdeka 2024 Edisi Ke-43.
Menurut Syamer, mereka tidak boleh mengawal penyokong sebaliknya apa yang mereka boleh lakukan adalah memberikan aksi terbaik.
“Perkara itu (boikot) kita tak boleh nak kawal tapi apa yang kitab oleh kawal adalah bagi satu persembahan yang baik supaya penyokong boleh datang seperti sebelum ini balik sekaligus kita kembali bersama pasukan kebangsaan.
Bola sepak untuk penyokong dan kita main untuk penyokong sebab kita bekerja keras ini untuk penyokong sendiri dan melihat mereka bersorak untuk kita dan berjuang buat kita di luar padang adalah satu tonik buat kita,”
katanya.
Tambah Syamer lagi, beliau turut bersedih dengan apa yang berlaku kerana semangat utamanya apabila turun beraksi adalah sokongan padu daripada penyokong sendiri.
Syamer berkata demikian ketika sidang media separuh akhir pertama Pestabola Merdeka menentang Filipina esok di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).
Dalam pada itu, Syamer juga berkata penting untuk pasukan menang pada perlawanan menentang Filipina dengan berharap penyokong akan membanjiri SNBJ sekiranya mereka berjaya mara ke perlawanan akhir.
Tambahnya lagi, biarpun penyokong mahu memboikot perlawanan skuad negara tetapi beliau percaya penyokong akan menonton perlawanan di kaca televisyen.
Sementara itu, satu lagi perlawanan separuh akhir menemukan Lubnan dan Tajikistan pada hari yang sama, jam 4.30 petang.
Pemenang kedua-dua perlawanan tersebut akan bertemu di Final pada Ahad, 8 September 2024, jam 9.00 malam manakala dua pasukan yang tewas akan bertemu untuk perlawanan Penentuan Tempat Ketiga pada hari sama, jam 4.30 petang.