Norman Fegidero Jr akui ramai pemainnya beraksi di luar negara beri Filipina kelebihan
Ketua jurulatih pasukan kebangsaan Filipina, Norman Fegidero Jr mengakui pasukannya turut mempunyai kelebihan apabila ramai pemainnya yang bermain di liga luar negara termasuk ada yang bermain di Liga Super Malaysia.
Menurut Norman, ia merupakan satu situasi yang unik buatnya dan tugas beliau adalah untuk bentuk sebuah skuad yang kompetitif.
“Ya ada kelebihan sebab raai pemain kami bermain di luar jadi tugas saya adalah bagaimana mahu bentuk pasukan ini jadi sebuah skuad yang kompetitif.
Ia merupakan satu situasi yang cukup unik tapi saya percaya dengan mereka,”
katanya.
Norman Fegidero Jr berkata demikian ketika sidang media menjelang perlawanan pertama Pestabola Merdeka 2024 Edisi Ke-43 menentang Malaysia esok di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) jam 9.00 malam.
Dalam pada itu, Norman Fegidero Jr juga berkata pasukan Malaysia juga mempunyai kelebihan kerana majoriti pemain mereka bermain di liga tempatan selain mempunyai tempoh dua minggu untuk buat persiapan.
“Kelebihan kamu adalah hampir keseluruhan pemain dalam pasukan kebangsaan Malaysia bermain di sini jadi ia jadi kelebihan terbesar untuk mereka.”
Sementara itu, satu lagi perlawanan akan menemukan Lubnan dan Tajikistan pada hari sama yang akan berlangsung pada jam 4.30 petang.
Kedua-dua pemenang perlawanan itu akan bertemu di perlawanan akhir yang akan berlangsung pada Ahad jam 9.00 malam, manakala dua pasukan yang tewas akan bertemu untuk perlawanan penentuan tempat ketiga pada hari sama jam 4.30 petang.