Semua sudah tahu cara Coach Pau Marti, sistem latihan tak banyak berubah – Darren Lok
Penyerang kebangsaan sensasi, Darren Lok memberitahu beliau dan rakan sepasukan tiada masalah untuk menyesuaikan diri dengan ketua jurulatih baharu, Pau Marti pada kem latihan pusat Harimau Malaya bagi menghadapi Pestabola Merdeka 2024 Edisi Ke-43 yang akan berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil dari 4 hingga 8 September 2024.
Menurut Darren, kesemua pemain yang dipanggil kali ini sudah biasa dengan cara kerja Pau Marti sebelum ini, oleh itu tiada perubahan ketara berlaku.
“Seperti yang anda dapat lihat majoriti pemain yang dipanggil kali ini pernah bersama pasukan sebelum ini.
Dengan pemergian Coach Kim Pan-gon dan kini Coach Pau Marti ambil alih jadi kami semua sudah biasa dengan beliau dan bagaimana cara beliau bekerja dan dengan kesuntukan masa tiada banyak perubahan dari segi sistem latihan.
Tapi setiap jurulatih ada cara mereka sendiri jadi ada sedikit perubahan namun semua pemain selesa,”
katanya.
Darren pada masa sama turut gembira dapat kembali menyarung jersi Harimau Malaya berikutan sebelum ini terpaksa diketepikan berikutan mengalami kecederaan.
Pau Marti akan mengendalikan perlawanan pertamanya pada malam ini menentang Filipina dalam aksi Pestabola Merdeka 2024 Edisi Ke-43 yang akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).
Dalam pada itu, Darren turut gembira melihat perkembangan positif di bahagian serangan kerana mereka kini mempunyai banyak pilihan sekaligus bagus untuk skuad negara.
“Sekarang pilihan di bahagian serangan semakin kuat dan jika anda melihat kepada penyerang-penyerang negara ketika ini setiap daripada mereka mempunyai cara yang berbeza dan tersendiri jadi saya rasa ia bagus untuk pasukan Malaysia.”
Kejohanan Pestabola Merdeka 2024 akan membuka tirainya pada jam 4.30 petang yang akan menyaksikan Lubnan akan turun menentang Tajikistan.
Pemenang kedua-dua perlawanan tersebut akan bertemu di perlawanan akhir yang akan berlangsung pada Ahad, 8 September jam 9.00 malam, manakala dua pasukan yang tewas akan bertemu untuk perlawanan penentuan tempat ketiga pada hari sama, jam 4.30 petang.