Pasukan Malaysia sudah bersedia tawan Asia pada kejohanan Footgolf Piala Asia

145

Selepas berjaya mencipta kejutan dengan meloloskan diri dalam kelompok LAPAN terbaik dunia pada Kejohanan Footgolf Piala Dunia Tahun 2023 yang berlangsung di Orlando, Amerika Syarikat, pasukan Footgolf Malaysia kini sudah bersedia untuk memulakan lembaran sejarah yang baru. Biarpun sukan Footgolf masih asing di dalam senario sukan tempatan, namun berbekalkan semangat yang membara, pasukan Footgolf Malaysia nekad untuk membuktikan bahawa kejayaan di dalam sukan ini turut mampu mengharumkan nama negara di persada dunia.

Bakal berlangsung di The Els Club Desaru pada 23 hingga 27 September 2024, Kejohanan Footgolf Piala Asia yang dibawakan oleh penaja utama MicroLEAP sebuah syarikat pelaburan patuh syariah yang saban tahun terus menyokong perkembangan sukan footgolf di Malaysia, kejohanan ini bakal menjadi medan pertembungan di antara ENAM (6) negara yang aktif di dalam sukan yang mencabar dan penuh teknikal ini iaitu Malaysia, Jepun, China, Chinese Taipei, Korea dan Australia.


Selaku tuan rumah, sudah pasti pasukan Footgolf Malaysia menyasarkan untuk bergelar Juara Asia dan ketua pasukan skuad negara, Mohd Fahmi Hatta yakin dengan kemampuan pasukan yang telah berlatih bersama beberapa bulan ini.

“Dengan persediaan rapi yang telah dilakukan, kami semakin mengenali kekuatan dan kelebihan setiap rakan sepasukan, ini penting untuk para pemain mempersiapkan diri untuk menghadapi pasukan lawan terutamanya dalam acara berpasukan nanti, berdepan dengan pasukan pasukan pilihan seperti Jepun dan China.”

Seorang lagi pemain negara iaitu, Hanif Miswan pula yakin dengan pengalaman yang dibawa ketika menyertai Piala Dunia di Orlando bakal mematangkan dirinya dan rakan sepasukan yang lain.

“Skuad kali ini menarik, ada adunan pemain yang berpengalaman di pentas antarabangsa dan mempunyai ranking yang tinggi di peringkat Dunia dan Asia. Selain Jepun dan China, ada juga pasukan berpengalaman seperti Australia yang merupakan tuan rumah untuk edisi Piala Asia terdahulu.

Korea Selatan dan Chinese Taipei yang boleh disifatkan sebagai pendatang baharu dalam sukan ini… jadi peluang Malaysia seimbang dan InshaAllah kita boleh melakukan kejutan menjadi juara.”

Kejohanan Footgolf Piala Asia ini akan mempertandingkan tiga kategori utama iaitu Men Open, Men Senior dan Women Open.

Pastinya pasukan Footgolf Malaysia menyasarkan untuk menjuarai kesemua kategori yang ada sekaligus mencapai misi menawan Asia.

Dalam pada itu, Jeffrey Cottam, Naib Presiden Persatuan Footgolf Malaysia yang juga merupakan pemain kategori Men Senior nombor satu di Asia pada ketika ini berharap agar penganjuran kali ini membuka mata penggemar sukan di Malaysia terutamanya untuk lebih mengenali dan mencuba sukan ini.

“Kejohanan ini mendapat sokongan penuh daripada Kementerian Belia dan Sukan dan secara konsisten di masukkan juga di dalam kalendar Hari Sukan Negara, sambutan di peringkat nasional. Jadi dengan penganjuran berskala antarabangsa ini, sudah pasti ianya bakal menjadi satu lagi lembaran sejarah dalam sukan tempatan.

Sukan Footgolf mempunyai potensi yang tinggi untuk pemain pemain negara kita, kita ada pemain yang berkedudukan ranking Top 20 dalam penyertaan pertama ketika Piala Dunia, terpilih untuk menyertai France Masters untuk tahun ini dan saya sendiri menjuarai Terbuka Australia 2024 dalam kategori senior baru baru ini, jadi kita menjemput peminat peminat sukan untuk hadir ke Desaru hujung bulan ini dan menyokong pasukan Footgolf Malaysia mencipta sejarah.”

Untuk rekod, Malaysia mempunyai beberapa pemain yang menyinar di peringkat Asia dan Dunia untuk tahun 2024, dan ini bakal menjadi kayu ukur kepada prestasi yang diharapkan ketika kejohanan nanti.