Bangga dengan rakan sepasukan, kami berjuang dan tunjukkan semangat berpasukan – Romel Morales

14

Pemain naturalisasi pasukan kebangsaan, Romel Morales menyuarakan rasa bangga beliau terhadap pasukannya yang mempamerkan semangat juang dan berpasukan yang cukup bagus untuk memastikan kemenangan berpihak kepada mereka.

“Saya rasa bangga dengan pasukan yang mana kami berjuang habis-habisan dan tunjukkan semangat berpasukan dan kami tampak baik bersama.

Saya juga rasa kami bekerja dengan keras sebagai satu pasukan dan keluarga jadi perkara itu kami tunjukkan ketika berada di atas padang,”

katanya.

Romel berkata demikian selepas pasukan Harimau Malaya berjaya menewaskan Filipina 2-1 dalam aksi separuh akhir Pestabola Merdeka 2024 Edisi Ke-43 yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) baru-baru ini.


Beliau pada masa sama turut mengakui aksi menentang Filipina bukannya mudah apabila mereka terlebih dahulu ketinggalan hasil jaringan sendiri namun terus bekerja keras dan berjaya menjaringkan dua gol untuk mendapatkan kemenangan.

Dalam pada itu, Romel turut berterima kasih kepada para penyokong yang turun ke SNBJ untuk memberikan sokongan kepada mereka biarpun ada segelintir penyokong yang mengambil pendirian untuk memboikot kejohanan Pestabola Merdeka.

“Kami berterima kasih kepada penyokong-penyokong yang turun ke stadium untuk menyokong kami dan kami juga percaya penyokong yang tidak hadir turut menyokong kami dengan menonton perlawanan di rumah.

Apa yang penting adalah untuk kami tunjukkan kita boleh bersama dan buat mereka bangga.”

Sementara itu, kemenangan itu menyaksikan skuad kendalian Pau Marti berjaya layak ke perlawanan akhir di mana mereka akan bertemu Lubnan pada Ahad, 8 September jam 9.00 malam, manakala Filipina dan Tajikistan pula akan bertemu pada jam 4.30 petang untuk penentuan tempat ketiga.