Aksi menentang Lubnan akan lebih fizikal, jadi kita perlu bersedia – Daniel Ting
Pemain pertahanan pasukan kebangsaan, Daniel Ting memberitahu aksi menentang Lubnan pada perlawanan akhir Pestabola Merdeka 2024 Edisi Ke-43 lebih mencabar dan lebih fizikal, oleh itu mereka perlu lebih bersedia nanti.
“Pada perlawanan dengan Filipina saya rasa kita bertahan dengan baik dan berjaya menguasai bola tapi perlawanan menentang Lubnan nanti adalah perlawanan yang berbeza dan saya rasa ia akan lebih fizikal jadi kita perlu bersedia untuk menghadapinya,”
katanya.
Pada perlawanan separuh akhir Pestabola Merdeka skuad Harimau Malaya berjaya bangkit dari ketinggalan untuk menang 2-1 ke atas Filipina dalam aksi yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) baru-baru ini.
Daniel pada masa sama turut berterima kasih kepada penyokong yang hadir ke stadium untuk memberikan sokongan kepada mereka.
“Saya bersyukur dan berterima kasih kepada penyokong yang turun ke stadium kerana ia sentiasa menarik jika ada penyokong di stadium dan lebih baik jika jumlah penyokong lebih ramai lagi tapi perkara itu diluar kawalan saya.
Jadi apa yang saya boleh buat adalah fokus pada persembahan sahaja.”
Kemenangan itu menyaksikan skuad kendalian Pau Marti akan menentang Lubnan pada Ahad, 8 September jam 9.00 malam, manakala dua pasukan yang tewas iaitu Filipina dan Tajikistan pula akan bertemu pada jam 4.30 petang untuk aksi penentuan tempat ketiga.