Harap MPL MY musim ini adalah yang terbaik SRG! Buat apa nak baiki jika tak rosak – Arcadia

22

Jurulatih Mobile Legends Bang Bang (MLBB) pasukan Selangor Red Giants (SRG), Arcadia berharap Mobile Legends: Bang Bang Professional League (MPL MY) musim ke-14 akan menjadi musim terbaik pasukannya.

Menurut Arcadia, untuk persiapan pasukan musim ini mereka bermula dengan lebih awal dan semuanya berjalan dengan lancar.


“Kami sebenarnya mempunyai tempoh masa yang bagus untuk membuat persiapan bagi menghadapi saingan musim ini jadi sudah pastinya banyak perkara yang akan kami tunjukkan pada musim ini yang mana kami akan tampil lebih berani.

Kami juga berharap agar saingan MPL MY musim ini akan menjadi musim paling berjaya buat kami,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Untuk saingan musim ini, SRG menjadi satu-satunya pasukan yang mengekalkan barisan pemain dan kejurulatihan yang sama selepas mereka berjaya menjadi juara dunia di MSC Esports World Cup 2024 yang berlangsung di Riyadh, Arab Saudi.

“Saya yakin dengan kemampuan SRG yang sekarang ini dan saya juga percaya dengan pepatah ‘Buat apa nak baiki jika tak rosak’.

Walaubagaimanapun ia tidak bermakna kami akan bersikap terlalu yakin tidak kira pemain mahupun barisan kejurulatihan. Saya percaya kami mampu menjadi juara berganda.”

SRG pada musim lalu mencipta sejarah apabila berjaya menjadi juara MPL MY musim ke-13.

Sementara itu, saingan MPL MY musim ke-14 akan membuka tirainya pada Sabtu, 7 September di Stadium MBSJ Serdang Jaya.