Xorn sasar sekurang-kurangnya berada di kedudukan Top 2 untuk ke M6
Pemain e-sukan Mobile Legends Bang Bang (MLBB) pasukan Team Vamos, Xorn memberitahu bahawa sasaran beliau untuk saingan Mobile Legends: Bang Bang Professional League (MPL MY) musim ke-14 adalah untuk berada di kedudukan Top 2.
Ini kerana menurut Xorn, sasaran tersebut bagi memastikan peluang mereka untuk ke M6 World Championship lebih cerah.
“Kalau tanya saya, saya nak sekurang-kurangnya kita berada di kedudukan Top 2 sebab kita nak main di M6 sebab sebelum ini ketika bermain di M5 keputusan kurang memuaskan, jadi untuk musim ini sekurang-kurangnya Top 2,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Xorn yang sebelum ini merupakan pemain pasukan Homebois mengambil keputusan untuk berhijrah ke pasukan baru milik bekas pemain e-sukan terkenal iaitu Soloz.
Dalam pada itu, Xorn juga berkata tiada perbezaan ketara selepas beliau berhijrah ke pasukan baru.
“Kelainan dari segi pemain tiada kerana kesemua pemain sudah mempunyai keserasian cuma dari segi tempat latihan la kot.”
Beliau berkata demikian selepas tamat perlawanan minggu pertama MPL MY yang menyaksikan Team Vamos berjaya memperoleh kemenangan selepas menewaskan Team Red Esports dengan keputusan 2-0.
Sementara itu, biarpun mendapat kemenangan selesa namun Xorn berkata pasukannya masih belum mantap kerana ada banyak perkara yang perlu diperbaiki.
“Saya rasa pasukan belum ‘solid’ lagi kerana pada perlawanan minggu pertama pun permainan kami banyak yang tidak ‘sync’ jadi kita perlu perbaiki untuk perlawanan seterusnya.”