Cheah Liek Hou tak sangka persiapan singkat beliau mampu bawa pulang pingat emas di temasya Paralimpik

28

Jaguh badminton para negara, Cheah Liek Hou mengakui beliau tidak menyangka dengan persiapan yang singkat beliau masih mampu untuk merangkul pingat emas di temasya Sukan Paralimpik Paris 2024 baru-baru ini.

“Pada mulanya memang saya tak jangka sebab persediaan saya pun dalam tempoh sebulan setengah saja dan saya juga tak sangka saya dapat menunjukkan satu perlawanan yang luar biasa semasa di Paris.

Jadi saya rasa persediaan yang selama ini walaupun pendek tapi saya rasa sangat berbaloi. Kem latihan pusat yang dibuat Institut Sukan Negara (ISN) dan tinggal di Majlis Sukan Negara (MSN) ia membantu saya untuk fokus semasa latihan,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Tambah Liek Hou lagi, selain dapat fokus pada latihan beliau juga dapat berbincang dengan jurulatih termasuk dengan ahli fisioterapi untuk membuat perancangan rapi bagi memastikan beliau dapat berada di tahap terbaik.


Terdahulu Liek Hou berjaya menghadiahkan pingat emas pertama untuk Malaysia pada aksi final perseorangan lelaki SU5 (kecacatan fizikal) dengan menewaskan pemain dari Indonesia, Suryo Nugroho dengan keputusan straight set 21-13,21-15 dalam tempoh 26 minit.

Dalam pada itu, Liek Hou yang merupakan juara dunia sebanyak lapan kali berkata fokusnya selepas ini adalah untuk temasya Paralimpik Asia yang akan berlangsung pada 2026 di Jepun.

“Saya akan fokus pada dua tahun akan datang iaitu temasya Paralimpik Asia di Nagoya, Jepun. Saya akan fokus yang itu dahulu dan kalau kondisi saya masih bagus dan cergas mungkin saya akan menyertai Paralimpik Los Angeles 2028.”