Bonnie sasar pingat emas sahaja tapi pulang ke tanah air bersama rekod dunia
Jaguh angkat berat para negara, Bonnie Bunyau Gustin memberitahu sasaran awalnya adalah untuk mendapatkan pingat emas sahaja di temasya Paralimpik Paris 2024 namun mengubah fikirannya pada angkatan kedua yang mana beliau mahu cuba memecah rekod dunia.
Menurut Bonnie, biarpun tangannya mula rasa sakit pada angkatan kedua tetapi beliau tetap yakin mampu lakukan angkatan untuk pecah rekod dunia.
“Mula-mula memang kita tak rancang untuk pecahkan rekod dunia sebab sasaran utama kita adalah untuk dapatkan pingat emas.
Tapi masa angkatan kedua tangan saya sudah berasa sakit tapi saya cakap dengan jurulatih angkatan terakhir kita nak cuba pecah rekod dunia,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Terdahulu Bonnie menyumbang pingat emas kedua buat Malaysia selepas beliau berjaya meraih pingat emas dalam kategori 72 kilogram (kg) menerusi angkatan 232kg sekaligus memecah dunia dunia miliknya sebelum ini 231kg.
Dalam pada itu, atlet berasal dari Sarawak itu mengakui beliau pernah hampir mahu putus asa berikutan mengalami kecederaan tangan ketika berlatih.
“Masa tengah berlatih saya rasa sakit tangan belah kiri dan ketika itu saya rasa mental ‘down’ dan betul-betul tak tentu arah tapi saya buat perancangan untuk buat yang terbaik sahaja.”
Sementara itu, Bonnie juga belum dapat memberi pengesahan samada beliau akan bersaing di temasya Sukan Paralimpik Los Angeles 2028 kerana mahu melihat kepada prestasinya terlebih dahulu.
Bonnie berkata sekiranya beliau masih berada pada tahap terbaik sudah semestinya beliau akan terus bersaing.