Sasaran mahu layak ke Sukan Paralimpik LA 2028 untuk dapatkan semula pingat emas – Abdul Latif Romly

42

Jaguh lompat jauh negara, Datuk Abdul Latif Romly memberitahu beliau akan terus bekerja keras bagi memastikan beliau dapat layak ke temasya Sukan Paralimpik keempatnya yang akan berlangsung di Los Angeles pada 2028 untuk kembali merangkul pingat emas.

Abdul Latif berkata demikian selepas impiannya untuk meraih pingat emas di Paralimpik Paris 2024 baru-baru ini tidak kesampaian selepas beliau hanya berjaya membawa balik pingat perak.


“Sasaran saya memang nak layak ke LA 2028 buat kali keempat untuk Paralimpik dan sudah semestinya sasaran saya nak dapat balik pingat emas di sana nanti,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Biarpun gagal untuk mencipta hatrik emas di Paralimpik, Abdul Latif tetap bersyukur dengan pingat perak yang dimenanginya dalam acara lompat jauh lelaki T20 (kecacatan intelektual).

“Sasaran awal saya adalah pingat emas tapi rezeki pingat perak jadi saya tetap rasa bersyukur.”

Terdahulu, Abdul Latif terpaksa berpuas hati dengan pingat perak selepas atlet paralimpik Neutral, Matvei Lakushev merangkul pingat emas selepas berjaya membuat lompatan dengan catatan 7.51 meter (m).

Sebelum ini beliau merupakan pemenang pingat emas di Paralimpik Rio 2016 dan Paralimpik Tokyo 2020.

Pada bulan Mei lepas, atlet berasal dari Perlis itu juga berjaya menjadi juara dunia di Kobe, Jepun.