FAM & kerajaan bersedia untuk Palestin jadikan Malaysia sebagai ‘home’ mereka – Hamidin
Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tan Sri Dato’ Hamidin Mohd Amin memberitahu bahawa pihaknya dan pihak kerajaan bersedia sekiranya pasukan dari Palestin berhasrat mahu menjadikan Malaysia sebagai ‘home’.
“Saya juga ada bercakap dengan Presiden Jeneral Jibril mengatakan jika untuk perlawanan seterusnya jika mereka hendak bermain di sini mereka akan maklum kepada kita.
Jadi kita di FAM dan kerajaan bersedia pada bila-bila masa untuk menerima pasukan Palestin jadikan Malaysia sebagai ‘home’,”
katanya.
Hamidin berkata demikian selepas tamat perlawanan Asian Qualifiers Road to 26 (AQRT26): Kumpulan B di antara Palestin menentang Jordan yang berlangsung di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur semalam.
Beliau pada masa sama juga berkata FAM akan terus menjalin kerjasama bersama Persatuan Bola Sepak Palestin.
“Kita akan selalu mengadakan perlawanan persahabatan macam pada tahun lepas Pestabola Merdeka mereka sepatutnya mereka hadir tetapi tidak dapat hadir berikutan konflik yang berlaku.
Jadi insyaAllah kita akan terus bekerjasama dengan mereka.”
Sementara itu, Hamidin juga tidak menolak kemungkinan akan mengatur perlawanan persahabatan dengan pasukan Palestin namun perlu melihat kepada jadual pasukan itu terlebih dahulu berikutan mereka layak ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2026.